Utamakan pendidikan berbanding jalan pintas ke syurga, kata Anwar

Utamakan pendidikan berbanding jalan pintas ke syurga, kata Anwar

Presiden PKR itu berkata, ada orang yang menganggap agama ialah jalan pintas ke syurga dengan menyokong rumah ibadat mereka berbanding pendidikan serta kesihatan.

Anwar Ibrahim berucap dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Malaysian Association Indian University Graduates di ibu negara, hari ini.
PUTRAJAYA:
Anwar Ibrahim hari ini mengkritik mereka yang lebih mengutamakan agama secara keterlaluan berbanding pendidikan yang sepatutnya dijadikan keutamaan dalam usaha membasmi kemiskinan.

Presiden PKR itu berkata, ada orang yang menganggap agama ialah jalan pintas ke syurga dengan menyokong rumah ibadat mereka berbanding pendidikan serta kesihatan.

Beliau yang berikrar meneruskan agenda reformasi Pakatan Harapan berkata, “sesetengah dasar lapuk perlu diubah”, tetapi ia memerlukan komitmen dan keberanian.

“Kemiskinan dan masalah sosial merupakan masalah sebenar yang tidak terhad kepada masyarakat India, tetapi juga orang Melayu di kawasan luar bandar dan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.

“PH perlu suarakan isu ini dengan penuh komitmen dan berani. Keutamaan sudah tentu kepada pendidikan.

“Kita ada masalah dengan masyarakat Melayu. Mereka mempunyai masjid tersergam indah, saya tidak menentangnya, tapi pendidikan berkualiti tidak sepatutnya diketepikan,” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Malaysian Association Indian University Graduates (MAIUG) di sini hari ini.

Anwar berkata, perkara sama turut berlaku kepada masyarakat India yang mempunyai kuil menakjubkan, tetapi sekolah jenis kebangsaan Tamil di luar bandar diabaikan.

Katanya, rakyat boleh menyokong rumah ibadat masing-masing, tetapi masa depan anak bergantung kepada pendidikan berkualiti baik yang merupakan penyelesaian kepada masalah kemiskinan.

“Orang yang miskin tetap miskin, tidak kiralah Melayu, India, Iban atau Cina. Masalah membabitkan isu kemiskinan ini perlu diselesaikan, tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau turut mengingatkan PH mengenai kepentingan mengotakan janjinya untuk melakukan pembaharuan tanpa perlu melihat ke belakang lagi.

“Janji kita adalah untuk patuh pada perundangan, bukannya menjadikan perundangan sebagai undang-undang rimba. Mandat diberikan adalah untuk lakukan reformasi, bukannya meneruskan amalan dan polisi korup.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.