
Bagaimanapun, katanya, polis akan menghormati parti politik dengan tidak menghantar anggota Cawangan Khas ke perbincangan tertutup mereka.
“Itu hak dia (untuk larang). Bagi polis, di mana difikirkan perlu untuk ditempatkan anggota untuk tujuan menjaga keamanan dan keselamatan, kita akan tetap tempatkan anggota dan pegawai.
“Jika dia (Warisan) hendak panggil media, maka itu sudah terbuka. Sekiranya berlaku kekecohan, sekurang-kurangnya mereka sudah ada di situ,” katanya kepada FMT hari ini.
“Kalau hendak buat urusan parti secara tertutup, kita tidak perlu masuk. Jika perbincangan secara tertutup buat di pejabat, kita juga tidak ada kepentingan untuk masuk ke pejabat parti.
“Kalau tempat-tempat di mana ada aktiviti yang dijalankan di tempat awam, polis rasa ada keperluan, kita akan aturkan tugasan di situ, melainkan ia adalah urusan (tertutup) parti.”
Semalam, Naib Presiden Warisan, Junz Wong dilaporkan berkata, anggota Cawangan Khas tidak akan dibenarkan ke mana-mana sidang media parti itu tanpa sebarang undangan.
Katanya, menjadi kebiasaan polis menghantar anggota Cawangan Khas ke acara anjuran kerajaan dan pembangkang, tetapi ia bukan lagi satu amalan di bawah kerajaan negeri pimpinan Warisan.
Berita mengenai “peraturan” baru itu tersebar di media sosial dan dibidas sesetengah blogger kerana ia merupakan kebiasaan untuk anggota Cawangan Khas hadir dalam acara politik atau sidang media.
Ada yang mempersoalkan kenapa Warisan membuat keputusan itu dan sama ada Presiden Warisan dan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal tahu mengenainya kerana ia hanya membawa kesan buruk kepadanya.
Seorang blogger dan aktivis politik tempatan, Ronnie Klassen dilaporkan berkata individu yang menguatkuasakan peraturan baru itu ialah “perunding media” ketua menteri yang juga seorang bekas wartawan di Sabah.
Seorang pegawai Cawangan Khas mendakwa perunding media itu sudah menghalau anggota Cawangan Khas dari beberapa acara dan sidang media pemimpin Warisan, termasuk Shafie.
Hari ini, Hamid menasihatkan Wong supaya tidak menganggap polis sebagai musuh mereka.
“Saya punya nasihat, kalau ada sesiapa yang hendak buat kenyataan seperti itu, maka berhati-hati. Jangan anggap polis musuh.
“Saya akan pastikan penugasan anggota dan pegawai di bawah untuk tujuan keamanan dan keharmonian, khususnya apabila melibatkan parti politik yang berlawanan.”
Sejak dulu lagi, anggota Cawangan Khas akan ditugaskan mengawal keadaan bagi acara menteri dan kerajaan demi meneutralkan sebarang ancaman sebelum sebarang acara kerajaan membabitkan pegawai berpangkat tinggi berlangsung.
Mereka akan membuat liputan acara dan laporan mengenainya kepada pihak atasan.