Calon Warisan janji halang pengusiran penduduk rumah pangsa Tanjung Aru

Calon Warisan janji halang pengusiran penduduk rumah pangsa Tanjung Aru

Junz Wong yang juga naib presiden Warisan mahu Rumah Pangsa Tanjung Aru dibina semula dengan lebih banyak unit jika beliau berjaya pertahan kerusi itu.

Warisan Candidate Tanjung Aru-Junz Wong
Calon Warisan untuk DUN Tanjung Aru, Junz Wong berkata bekalan elektrik dan air untuk penduduk di Rumah Pangsa Tanjung Aru juga sudah dipotong.
TANJUNG ARU:
Calon Warisan bagi kerusi Tanjung Aru, Junz Wong, berjanji untuk membina semula Rumah Pangsa Tanjung Aru dan menghentikan pemindahan penduduk jika beliau mengekalkan kerusi itu pada PRN Sabah.

Wong, yang juga naib presiden Warisan, mendakwa penduduk berdepan tekanan semakin meningkat untuk berpindah sejak beberapa tahun lalu, termasuk gangguan bekalan utiliti asas yang menyebabkan puluhan keluarga terjejas.

“Ramai antara mereka sudah tinggal di sini selama 30 hingga 40 tahun. Bekalan elektrik dan air mereka sudah dipotong. Kira-kira 45 keluarga yang hidup tanpa air dan elektrik.

“Jika rakyat beri kami mandat, perkara pertama yang akan kami lakukan ialah memastikan rumah pangsa ini kekal untuk rakyat, dan ia dibina semula dengan lebih banyak unit untuk keluarga tempatan dan anak muda,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Menurut Borneo Post, penduduk diarahkan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) untuk mengosongkan kediaman mereka sebelum 31 Ogos tahun lalu.

Lembaga itu kali pertama memaklumkan kepada penduduk mengenai arahan itu pada Mei 2021 dan mendakwa pemindahan perlu dibuat kerana struktur bangunan didapati tidak lagi selamat.

Penduduk kemudiannya mengadakan bantahan dan menuntut satu penyelesaian yang dipersetujui bersama, selain salinan laporan yang mengisytiharkan bangunan itu tidak lagi selamat.

Ketua Umno Putatan Jeffery Nor Mohamed sebelum ini menggesa supaya tarikh akhir 31 Ogos itu ditangguhkan sehingga hujung tahun.

Jeffery turut berkata beberapa penduduk yang ditawarkan penempatan baharu mendapati lokasinya terlalu jauh daripada tempat kerja mereka atau sekolah anak-anak.

Lindungi penduduk daripada dihimpit pembangunan

Wong berkata peningkatan nilai tanah di Tanjung Aru menjadikan usaha mengekalkan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah lebih penting, sambil memberi amaran bahawa keluarga boleh diusir dari tanah bernilai tinggi jika pembangunan diteruskan tanpa perlindungan.

Katanya, Warisan akan meneroka kaedah memperluas perumahan mampu milik, termasuk berunding mengenai pertukaran tanah atau pelepasan tanah milik agensi negeri.

Beliau juga menegaskan Warisan tidak akan menyokong sebarang rancangan memindahkan komuniti tanpa alternatif yang sewajarnya.

“Kita mesti pastikan rumah pangsa ini tidak diberikan kepada pihak lain kerana ia terletak di tanah utama di Tanjung Aru. Saya dengar ada rancangan pembangunan bercampur di situ, dan ini akan menolak keluar keluarga biasa di Tanjung Aru.

“Kami mahu semua pemilik tanah, sama ada tempoh pajakan mereka tamat atau tidak, disenaraikan sebagai pemegang taruh dalam apa-apa rancangan pembangunan semula supaya semua pihak mendapat manfaat secara menang-menang.

“Tanjung Aru ialah kawasan separa bandar, namun ramai keluarga masih tidak memiliki rumah. Kami mahu pembangunan memberi manfaat kepada penduduk yang sudah menetap di sini sejak beberapa generasi terdahulu,” katanya.

Wong berdepan saingan sembilan penjuru dalam usahanya mempertahankan kerusi Tanjung Aru untuk penggal ketiga. Beliau sebelum ini pernah menjadi Adun Likas.

Antara pencabar utamanya ialah Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Chan Foong Hin, yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.