
Menurutnya, belanjawan RM75 bilion sepanjang lima tahun akan memberi negeri itu platform mantap bagi memajukan sektor-sektor teras, termasuk prasarana, pendidikan dan kesihatan.
Sim mengakui dana terhad dan kebergantungan pada pinjaman sebelum ini menyukarkan Sarawak untuk menyaingi kemajuan negeri-negeri Semenanjung.
“Dulu kita tidak mampu kejar kerana terpaksa berhutang, sedangkan banyak sangat yang perlu dikejar, (termasuk) hospital, sekolah, infrastruktur.
“Kini kita ada lebih wang. Kalau masih tak boleh kejar, kita kena muhasabah sendiri,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Borneo Convention Centre Kuching, lapor The Borneo Post.
“Tahun-tahun mendatang ini sangat genting untuk kita. Kalau kita bersatu padu dan pegang teguh nilai Sarawak dalam membina negara – jangan bergaduh, jangan berpecah-belah – kita boleh maju bersama-sama.”
Sim menegaskan, pembangunan Sarawak perlu digerakkan oleh semangat kebanggaan rakyat Sarawak sendiri terhadap negeri ini. Beliau juga menegaskan pentingnya memastikan sumber negeri dimanfaatkan dengan berkesan.
Bulan lepas, Premier Sarawak Abang Johari Openg mendedahkan negeri ini berjaya mengutip hasil RM13.5 bilion bagi 2025, melebihi sasaran awal RM13.01 bilion.
Abang Johari berkata, kekuatan ekonomi negeri akan membolehkan kerajaan Sarawak melancarkan pelbagai inisiatif termasuk pendidikan percuma dan pembaikan sistem pengangkutan awam.