
Salleh Said Keruak berkata, cadangan itu tidak relevan bagi Sabah, kerana kerajaan negeri akan mengekalkan hak perlembagaannya berkaitan isu pembahagian hasil dengan kerajaan persekutuan.
“Bagi Sarawak, ini mungkin dilihat sebagai perkara yang boleh dibincangkan dan dirundingkan sebagai formula dasar. Bagi Sabah, ia mengenai melaksanakan hak perlembagaan.
“Keputusan mahkamah mengenai perkara ini telah dibuat dan harus dihormati serta dilaksanakan sepenuhnya,” katanya di Facebook, merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober lalu mengenai tuntutan Sabah terhadap 40% bahagian hasil bersih persekutuan dari negeri itu.
Salleh menekankan, bagi Sabah isu pembahagian hasil bukan tentang memperkenalkan formula baharu.
Katanya, ia sudah jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan berkait semangat Perjanjian Malaysia 1963.
“Ia bukan mengenai meminta peruntukan tambahan atau layanan istimewa. Ia mengenai hak yang dipersetujui semasa Malaysia ditubuhkan,” katanya.
Beliau berkata, hak kewangan Sabah mesti dilaksanakan mengikut perlembagaan dan perjanjian asal, dan tidak boleh tertakluk kepada pertimbangan politik yang berubah-ubah.