Najib hadapi masalah dapatkan rekod bank, kata peguam

Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam perbicaran rasuah dan salah guna kuasa Najib Razak mengadu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghalang anak guamnya mendapatkan maklumat daripada akaun banknya di AmBank yang ditutup.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali keadaan itu mengganggu mereka menyediakan pembelaan sejak Najib didakwa tahun lepas, lapor Malaysiakini.

Shafee menimbulkan perkara itu hari ini sebelum prosiding bermula selepas waktu makan tengah hari.

Peguam berkata bank memberi kerjasama tetapi badan anti-rasuah itu menjadi penghalang.

Shafee menjelaskan ia terhenti baru-baru ini apabila seorang pegawai AmBank memberitahu mereka bahawa pihak bank diarah SPRM jangan memberikan sebarang dokumen berkaitan akaun Najib tanpa kebenaran mereka.

Beliau berkata bank boleh menyediakan dokumen-dokumen tersebut dan Najib juga berhak ke atas dokumen-dokumen itu.

Shafee berkata pemegang akaun sentiasa berhak pada dokumen-dokumen berkaitan semasa akaun itu aktif atau sudah ditutup, untuk mengetahui sebarang transaksi.

Beliau mendakwa arahan SRPM kepada bank itu daripada pegawai penyiasat, Rosli Hussein.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan pihak pendakwaan akan mempertimbangkan perkara itu sebelum memberikan respon.

Beliau berkata pihak pembelaan menghantar sepucuk emel kepada pihak pendakwaan sebelum waktu makan tengah hari.

Sementara itu, Najib di Facebook berkata pihak pendakwaan berulang kali menolak permintaan “discovery” daripada peguamnya.

Beliau berkata SPRM semalam menghantar surat kepada bank untuk sekat butiran transaksi akaun miliknya.

Bekas perdana menteri itu mendakwa, setahunya, perkara seperti itu tidak pernah berlaku dalam mana-mana kes dalam sejarah negara.

Pengurus AmBank Cawangan Raja Chulan, R Uma Devi, yang merupakan saksi dalam perbicaran itu, berkata Najib memilki 4 akaun semasa dan 1 akaun simpanan.

Dua dibuka pada Januari 2011 dan ditutup pada Ogos 2013.

Tiga akaun lain, semuanya akaun semasa, dibuka pada Julai 2013 dan ditutup pada Mac 2015.

Najib, 66, didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah, 1 pertuduhan salah guna kedudukan dan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.