Tarik diri dari debat keputusan yang baik, kata Anwar

PORT DICKSON: Keputusan pemimpin DAP, Lim Kit Siang menarik diri daripada berdebat dengan bekas perdana menteri, Najib Razak sebagai keputusan yang baik, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata debat antara Lim dengan Najib dibimbangi akan bertukar menjadi konflik pertembungan antara kaum.

“Kalau yang saya faham Kit Siang bukan orang yang tidak berani…tetapi saya ingat ramai kawan-kawan nasihat, tidak sesuai masa sekarang, nampak timbul ketegangan.

“Satu keputusan yang baik,” katanya kepada pemberita di satu program sumbangan hari ini.

Semalam, Lim mengumumkan untuk menarik diri daripada berdebat dengan Najib atas alasan bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik pertembungan kaum antara Melayu dan Cina.