30 saksi bakal dipanggil pada perbicaraan kes rasuah Ku Nan

Tengku Adnan Tengku Mansor didakwa menerima suapan berjumlah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan pada Dis 2013.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan memanggil sehingga 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang akan bermula pada 3 September ini, di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris memberitahu demikian kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini.

“Saya tak boleh menyatakan jumlah saksi secara tepat kerana mungkin ada perubahan tetapi dianggarkan 20 ke 30 saksi pendakwaan akan dipanggil,” katanya.

Terdahulu, Firdaous memberitahu mahkamah semua dokumen berkaitan kes itu diserahkan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau memohon mahkamah menetapkan satu tarikh pengurusan kes bagi menyerahkan pernyataan saksi untuk perbicaraan dan mahkamah menetapkan 16 Ogos untuk pengurusan kes.

Pada prosiding hari ini Tengku Adnan, yang berbaju kemeja batik lengan pendek diwakili peguam Tan Hock Chuan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan kes ahli Parlimen Putrajaya itu bermula pada 3 September sehingga 5 September dan bersambung 10 sehingga 12 September.

Pada 15 Nov lepas, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta, daripada seorang ahli perniagaan, Tan Eng Boon, melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu dilakukan sebagai upah bagi dirinya untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Dis 2013.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Tengku Adnan, turut berdepan pertuduhan pilihan di mana atas kedudukannya sebagai menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya sendiri sejumlah RM1 juta tanpa balasan daripada Tan menerusi cek Public Bank kepunyaan Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaunnya, sungguhpun mengetahui Tan, yang juga pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) mempunyai hubungan dengan fungsi rasmi beliau.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Sementara itu pada 12 Dis, beliau didakwa sebagai seorang penjawat awam atas kedudukannya selaku menteri Wilayah Persekutuan, menerima barangan berharga tanpa balasan, berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong, menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas Sdn Bhd, yang didepositkan ke dalam akaun CIMB kepunyaan Tadmansori Holding Sdn Bhd, yang mana beliau (Tengku Adnan) mempunyai kepentingan dan beliau tahu ada hubungan dengan tugas rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara, Tingkat 1, Lot A4, Blok A, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur, pada 14 Jun 2016.