Mat Sabu, Guan Eng sambut Aidilfitri bersama Malbatt di Lubnan

Mat Sabu, Guan Eng sambut Aidilfitri bersama Malbatt di Lubnan

Kehadiran Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng menyuntik semangat kepada Batalion Malaysia 850-6 yang sedang bertugas dalam misi PBB.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berada di Lubnan pada hari raya ini bersama pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-6 (Malbatt 850-6) yang kini bertugas dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau Unifil.

Hari raya di Lubnan disambut sehari lebih awal dari Malaysia.

Mohamad dalam ucapan Aidilfitri mengharapkan anggota sentiasa tabah dan mampu memikul tugas yang diamanahkan walaupun berada di perantauan.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bungkusan raya dan menikmati pelbagai hidangan seperti dodol, lemang dan ketupat yang merupakan juadah wajib lebaran.

Pegawai Perhubungan Raya Malbatt 850-6, Mejar Muhammad Azemy Dulhani dalam kenyataan berkata kehadiran Mohamad dan Lim sedikit sebanyak mengubat kerinduan anggota yang berjauhan dengan keluarga dan tanah air demi menjaga keamanan sejagat.

“Kehadiran kedua-dua menteri itu dilihat sebagai menyuntik semangat kepada anggota misi terutama sempena sambutan Aidilfitri ini,” katanya.

Kedua-dua mereka turut diiringi Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Hasagaya Abdullah, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan dan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Zulkapri Rahamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.