Menteri sahkan 14 Orang Asli Kuala Koh meninggal dunia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata, 83 penduduk Orang Asli dari Kampung Kuala Koh kini dirawat dengan 32 daripada mereka dimasukkan ke wad. (Gambar PEKA)

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorhy mengesahkan 14 penduduk Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Gua Musang meninggal dunia dipercayai kerana jangkitan pneumonia.

Waytha, yang dalam perjalanan melawat pesakit dan perkampungan itu berkata, 83 penduduk kini dirawat, dengan 37 menerima rawatan pesakit luar dan 32 dimasukkan ke wad.

Dua daripada lebih 30 yang dirawat di wad – seorang wanita berusia 36 tahun dan seorang kanak-kanak 3 tahun – berada dalam keadaan serius.

“14 orang sah meninggal dunia. Bedah siasat sudah dibuat ke atas kematian dan didapati berpunca daripada pneumonia,” katanya kepada FMT hari ini.

Tambahnya, terdapat 10 orang penduduk menerima rawatan di Hospital Kuala Krai dan seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab di Kota Bharu.

“Manakala seramai 3 orang lagi di tempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli,” katanya.

Waytha memberitahu bahawa Jabatan Kesihatan negeri menjalankan lawatan dan siasatan ke kampung tersebut setiap 2 hingga 3 hari dalam seminggu.

Katanya, ini kerana pihak berwajib masih belum mengetahui punca sebenar penyakit dan kematian mengejut yang berlaku.

Bagaimanapun polis semalam berkata, maklumat yang mereka terima menyebut hanya 3 penduduk meninggal dunia kerana jangkitan paru-paru, termasuk seorang yang meninggal dunia pagi ini di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Mohd Taufik Maidin berkata, bedah siasat ke atas mayat 2 mangsa mendapati paru-paru mereka dijangkiti.

Beliau berharap penduduk akan memaklumkan kepada polis jika ada penduduk meninggal dunia bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Katanya 119 penduduk Orang Asli dibawa keluar dari kampung berkenaan untuk menerima rawatan sepanjang minggu lepas.

Sementara itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) berkata, pemindahan penduduk kampung itu perlu dilakukan dengan segera kerana dikhuatiri bilangan kematian semakin meningkat.

“Sama ada penduduk perlu membuat pemeriksaan kesihatan ataupun tidak, mereka perlu dipindahkan segera.

“Ada penduduk yang maklumkan kepada kita, mereka tidak tahu sungai yang menjadi sumber utama air bersih untuk mandi dan memasak mungkin merupakan punca jangkitan,” kata presiden Peka, Shariffa Sabrina Syed Akil kepada FMT selepas membuat tinjauan di situ, hari ini.

Melalui beberapa perkongsian video kepada FMT, Peka menemu bual penduduk dan mendapati mereka tidak mengetahui bahawa air sungai tersebut berkemungkinan tercemar dan mengandungi racun berbahaya.

Penduduk kampung bagaimanapun maklum terdapat beberapa “pihak” yang datang memeriksa keadaan air sungai itu, tetapi mereka tidak diberi apa-apa makluman atau kemas kini tentang tahap kebersihan air sungai itu.