19 maut akibat banjir di selatan China

Pihak berkuasa meteorologi China mengekalkan amaran biru bagi hujan lebat serta meramalkan hujan ribut di Guizhou, Chongqing, Guangxi, Guangdong, Hunan, Fujian dan Gansu. (Gambar AFP)

GUANGZHOU: Sekurang-kurangnya 19 maut selepas hujan lebat menyebabkan banjir di selatan China, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.

Di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, hujan lebat selama seminggu menyebabkan banjir di 6 bandar yang meragut 12 nyawa dan menjejaskan lebih 570,000 orang, kata Jabatan Pengurusan Kecemasan Serantau dalam makluman terkini pada petang Selasa.

Jabatan itu berkata, lebih 1,300 rumah runtuh dan 33,500 hektar tanaman turut rosak akibat banjir.

Biro Meteorologi Serantau meramalkan hujan lebat antara malam Selasa dan Khamis.

Hujan lebat melebihi 300mm diramalkan berlaku di bahagian timur laut Guangxi.

Di Wilayah Guangdong, 7 maut manakala seorang masih hilang setakat 10 pagi Selasa selepas hujan lebat menyebabkan jalan raya rosak dan rumah roboh.

Tiga daerah di bandar Heyuan antara kawasan paling teruk terjejas dalam pusingan hujan ribut terkini yang berterusan selama seminggu.

Lebih 110,000 orang terjejas dan 956 rumah rosak.

Pihak berkuasa meteorologi China pada Selasa mengekalkan amaran biru bagi hujan lebat serta meramalkan hujan ribut di Guizhou, Chongqing, Guangxi, Guangdong, Hunan, Fujian dan Gansu.

Sesetengah wilayah selatan akan mengalami hujan lebat sehingga 150mm di beberapa bahagian di Guizhou, Guangxi dan Guangdong.