Pekerja hotel maut tertimbus tanah runtuh di Sandakan

Pekerja hotel maut tertimbus tanah runtuh di Sandakan

Mangsa dikenali sebagai Agustine Frederick J Lingam yang berusia 76 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.

Beberapa anggota bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di Sandakan, awal pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas maut tertimbus akibat tanah runtuh ketika cuba menghidupkan set janakuasa di belakang sebuah hotel di Sandakan, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Agustine Frederick J Lingam, 76, yang juga pekerja hotel terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.

Kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat yang mengakibatkan bekalan elektrik terputus di hotel berkenaan dan mangsa cuba menghidupkan bekalan sebelum tertimbus.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.39 pagi sebelum sepasukan 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba didapati mangsa tertimbus separuh badan di bawah runtuhan tanah.

“Kerja menyelamat dilakukan dengan menggunakan peralatan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap, sebelum mangsa dapat dikeluarkan pada 7.14 pagi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi,” katanya, menurut Harian Metro.

Tambahnya, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.19 pagi selepas keadaan kawasan disahkan selamat dan tiada risiko bahaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.