Undang-undang syariah seragam: Kerajaan digesa dapatkan pandangan Raja-raja

MKI berkata perbincangan akan diadakan dengan semua pemimpin agama negeri bagi mencari kata sepakat mengenai penyeragaman undang-undang syariah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang bekas ahli Parlimen menggesa kerajaan pusat mendapatkan pandangan Raja-raja berhubung rancangan untuk menyeragamkan undang-undang jenayah syariah bagi semua negeri.

Bekas ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail berkata, ia adalah langkah tepat kerana Raja-raja merupakan ketua agama di negeri masing-masing dan Yang Di-Pertuan Agong pula untuk negeri lain.

Semalam, menteri hal ehwal Islam, Mujahid Yusof mengumumkan rancangan untuk menyeragamkan undang-undang syariah di seluruh negara.

Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkata, perbincangan akan diadakan dengan semua pemimpin agama negeri bagi mencari kata sepakat mengenai penyeragaman undang-undang itu.

Pada masa ini setiap negeri mempunyai undang-undang syariah masing-masing dan hukumnan bagi kesalahan tertentu berbeza dari satu negeri ke negeri yang lain.

Tawfik berkata, walaupun perkara itu hanya di peringkat cadangan, adalah lebih tertib sekiranya kerajaan mendapatkan pandangan daripada Raja-raja.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan langkah penyeragaman undang-undang syariah merupakan langkah ke arah pemusatan kuasa ke atas agama oleh kerajaan persekutuan.

Tawfik juga bercakap tentang kebimbangan beliau bahawa perbincangan mengenai undang-undang syariah yang seragam boleh digunakan sebagai pintu belakang ke arah pelaksanaan hukuman lebih keras ke atas kesalahan jenayah Islam pada masa depan.

“Rekod menunjukkan bahawa negeri yang dikuasai PAS cenderung ke arah hukuman lebih keras,” katanya dengan menyebut langkah Presiden PAS Abdul Hadi Awang membentangkan rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) dengan hukuman lebih keras.

Rang undang-undang itu akan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan denda lebih tinggi dan jumlah sebatan lebih banyak ke atas kesalahan jenayah Islam tertentu.

Rang undang-undang yang dikenali sebagai RUU355 itu mencetuskan kontroversi dengan sesetengah pihak mendakwa ia merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan hukuman hudud.

Bagaimanapun usul Hadi untuk mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang itu gagal dan tamat tempoh.