
Salim Bashir dan N Sivananthan berkata Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang jenayah yang digubal oleh Parlimen terpakai kepada semua individu dan mengatasi undang-undang jenayah syariah negeri, yang hanya terpakai kepada orang Islam.
Mereka juga berkata Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sudah memadai untuk meliputi pelbagai bentuk jenayah seksual serta melindungi kanak-kanak bawah umur.
Mereka mengulas kenyataan Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat pada Khamis lalu kes rogol suka sama suka membabitkan remaja perempuan 16 tahun ke bawah akan dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) untuk tindakan lanjut bawah Mahkamah Syariah.
Beliau berkata lima kes telah dirujuk kepada jabatan berkenaan setakat ini dan kes rogol suka sama suka yang melibatkan gadis berusia 17 dan 18 tahun juga akan didakwa di Mahkamah Syariah.
Di bawah Kanun Keseksaan, hubungan seks dengan remaja perempuan berusia bawah 16 tahun merupakan rogol statutori, tanpa mengira persetujuan, kerana undang-undang menganggap kanak-kanak bawah umur tidak mampu memahami sepenuhnya atau memberi persetujuan terhadap aktiviti seksual.
Salim, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, merujuk kepada satu kes pendahulu yang ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan apabila 16 peruntukan dalam undang-undang negeri Kelantan 2019 yang mewujudkan kanun jenayah syariah dibatalkan kerana tidak berperlembagaan.
Ketua Hakim Negara ketika itu, Tengku Maimun Tuan Mat, dalam mengumumkan keputusan majoriti 8-1, berkata dewan undangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan peruntukan tersebut sebagai sebahagian daripada enakmen berkenaan kerana kesalahan yang dipersoalkan telah pun diliputi di bawah undang-undang Persekutuan.
Salim juga menegaskan bahawa pada 2021, Mahkamah Persekutuan telah mengisytiharkan tidak sah satu peruntukan dalam undang-undang negeri Selangor yang menjadikan perbuatan seks luar tabii sebagai kesalahan syariah.
Beliau menambah bahawa keputusan itu mendapati peruntukan tersebut tidak berperlembagaan kerana kesalahan sedemikian berada di bawah kuasa penggubalan undang-undang Parlimen, bukannya badan perundangan negeri.
“Undang-undang jenayah kita meliputi semua orang, tanpa mengira kaum atau agama,” katanya kepada FMT.
Sivananthan berkata ia adalah diskriminasi apabila orang Islam di Kelantan menerima layanan berbeza berbanding orang Islam di negeri lain. Beliau juga menyatakan bahawa beban pembuktian adalah berbeza di bawah undang-undang jenayah Persekutuan dan negeri.
Beliau menegaskan bahawa polis, sebagai agensi Persekutuan, hanya bertanggungjawab kepada pendakwa raya yang membuat keputusan muktamad sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya.
Cabaran undang-undang dan perlembagaan, termasuk prosiding menghina keputusan Mahkamah Persekutuan, boleh diambil terhadap polis Kelantan, katanya. “Saya tertanya-tanya sama ada beliau (Yusoff) mendapatkan nasihat daripada Jabatan Peguam Negara sebelum mengambil tindakan yang agak meragukan ini,” kata Sivananthan.