Wan Azizah tak lepas jawatan TPM sebelum Anwar jadi PM

Wan Azizah tak lepas jawatan TPM sebelum Anwar jadi PM

Ia susulan bendahari PPBM Selangor mendesaknya meletak jawatan terlebih dahulu jika PKR mahu peralihan kuasa antara Mahathir Mohamad-Anwar Ibrahim.

Wan Azizah Wan Ismail tidak akan melepaskan jawatan timbalan perdana menteri sehingga Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan perdana menteri.
KUALA LUMPUR:
Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak akan melepaskan jawatannya sebagai timbalan perdana menteri sehingga Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan negara daripada Dr Mahathir Mohamad.

Penegasan Wan Azizah itu sekali gus menolak gesaan supaya beliau melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Anwar dilantik menjadi timbalan perdana menteri yang baru dan seterusnya mengambil alih kepimpinan negara sebagai perdana menteri ke-8.

“Saya ingat tidak berbangkit sebab kita dah janji sebelum ini perdana menteri adalah Tun Dr Mahathir (Mohamad), dan saya adalah timbalan perdana menteri.

“Masa saudara Anwar ambil sebagai presiden parti (PKR) pun tidak ada perbedaan, jadi saya dah katakan bila Anwar jadi PM, saya akan ‘step down’ (berundur), so tiada isu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pertahanan Siber Persatuan Antikeganasan dan Profesional Keselamatan Antarabangsa 2019 (IACSP) hari ini.

Wan Azizah mengulas gesaan Bendahari PPBM Selangor, Mohd Shaid Rosli yang mendesak Wan Azizah meletak jawatan terlebih dahulu jika PKR mahu peralihan kuasa di antara Mahathir dan Anwar berlaku dalam tempoh berbaki setahun lagi.

Beliau berkata beliau tetap berpegang pada janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menyetujui Mahathir sebagai perdana menteri dan beliau sebagai timbalan perdana menteri ketika mengambil alih kerajaan.

Timbalan perdana menteri itu menegaskan peralihan kuasa akan berlaku seperti mana dijanjikan oleh Mahathir iaitu memberi laluan kepada Anwar sebagai perdana menteri selepas 2 tahun pembentukan kerajaan PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.