7 Sasterawan Negara terima elaun RM5,000 sebulan

Menteri Kewangan Lim Guan Eng (belakang, 3 dari kiri), Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim (belakang 4 dari kiri) dan 7 Sasterawan Negara yang menerima elaun penghargaan bulanan RM5,000.

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5,000 sebulan kepada Kementerian Pendidikan bagi pembiayaan elaun penghargaan secara bulanan kepada 7 Sasterawan Negara.

Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng, berkata bayaran bulanan RM5,000 akan dibayar mulai Jun 2019 dan akan diteruskan pada tahun seterusnya.

“Pemberian penghargaan Sasterawan Negara secara bulanan ini merupakan elaun tambahan baru yang diberikan sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi mereka dalam memainkan peranan penting membina Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang menyatupadukan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail.

Lim sebelum itu menyerahkan cek elaun sara hidup kepada 7 Sasterawan Negara iaitu A Samad Said, Prof Muhammad Salleh, Nordin Hassan, Mohd Anuar Rethwan, Ahmad Khamal Abdullah, Baharuddin Zainal dan Zurinah Hassan.

Lim berkata Sasterawan Negara dipilih oleh Urusetia Panel Anugerah Sastera Negara yang diketuai oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Jumaat lalu, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata usaha pertama yang akan dilakukan untuk Sasterawan Negara adalah akan mengadakan pertemuan antara Sasterawan Negara dengan Kementerian Kewangan.