Ahli pasukan khas siasat laporan Suhakam atas kehilangan paksa dilantik minggu ini

Muhyiddin Yassin berkata, pasukan petugas khas itu mempunyai 6 bulan untuk menyediakan laporan selepas meneliti penemuan Suhakam yang Cawangan Khas Bukit Aman terbabit dalam kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat.

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata pelantikan ahli pasukan petugas khas untuk menyiasat penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang Cawangan Khas Bukit Aman terbabit dalam kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan aktivis, Amri Che Mat.

“Saya akan lantik ahlinya dalam sehari dua…dan nama mereka akan diumumkan kemudian,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Jabatan Imigresen di sini, hari ini.

“Kami akan beri skop (terma rujukan) atau tanggungjawab mereka,” katanya sambil menambah pasukan petugas khas itu mempunyai 6 bulan untuk menyediakan laporan mereka.

Pada 3 April lalu, selepas inkuri ke atas kehilangan Koh dan Amri, Suhakam menyatakan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa.

Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, sementara Amri yang merupakan pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016, selepas keluar dari rumahnya di Kangar.

Koh didakwa menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam, dakwaan yang dinafikan keluarganya, manakala Amri dilaporkan cenderung kepada ajaran Syiah yang dilabelkan sesat oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Muhyiddin sebelum ini berkata, beberapa individu sudah dikenal pasti untuk mengetuai pasukan petugas khas itu yang terdiri daripada 6 atau 7 orang.

Beliau berkata, pasukan petugas khas itu akan turut dianggotai polis yang mempunyai kuasa menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, katanya, anggota polis itu bukan mereka yang terbabit secara langsung dalam kes itu atau mereka yang berpotensi terbabit konflik kepentingan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak tahu mengenai gesaan untuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mengambil tindakan terhadap Umno kerana menerima wang didakwa dari 1MDB.

Katanya, biar pihak berkuasa berkaitan menyiasat perkara itu.