
Gesaan itu dibuat susulan penangkapan dan perintah reman terhadap seorang pengguna TikTok yang didakwa memuat naik video mengandungi kenyataan mengenai perdana menteri.
Menurut Suhakam, kebebasan bersuara adalah hak asasi dijamin mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan memainkan peranan penting membina masyarakat demokratik.
Katanya, hak tersebut merangkumi kebebasan menyuarakan perbezaan pandangan, kritikan serta pendapat terhadap perkara berkepentingan awam, termasuk melibatkan pegawai awam dan kepimpinan kerajaan.
“Dalam konteks ini, Suhakam menekankan penangkapan dan penahanan reman terhadap seseorang individu bagi menyuarakan pandangan, yang tidak melibatkan keganasan adalah suatu langkah yang tidak wajar dan salah di sisi undang-undang.
“Penggunaan sekatan jenayah dalam keadaan sedemikian menimbulkan kebimbangan serius mengenai kawalan ruang sivik serta berisiko mewujudkan kesan menakutkan terhadap pelaksanaan kebebasan bersuara di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Awal minggu ini, seorang pengguna media sosial menerusi akaun ‘Jorjet Myla’ dilaporkan ditahan kerana memuat naik video TikTok mengkritik kepimpinan Anwar Ibrahim. Wanita itu juga dilaporkan direman tiga hari.
Polis sehingga kini masih belum memberi maklum balas kepada pertanyaan media sejak Selasa lalu bagi mengesahkan tangkapan dan butiran kes.
Dalam pada itu, suruhanjaya itu turut menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan berterusan peruntukan undang-undang seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948 yang disifatkan mempunyai skop terlalu umum dan terdedah kepada tafsiran tidak konsisten.
Pihaknya turut menekankan kepentingan memastikan setiap tindakan penguatkuasaan mematuhi prinsip proses yang adil, termasuk ketelusan, akauntabiliti serta akses kepada wakil guaman.
“Penggunaan undang-undang jenayah melindungi tokoh masyarakat daripada kritikan adalah tidak selaras dengan prinsip demokrasi dan menjejaskan keyakinan awam terhadap tadbir urus baik.”