Akaun tak wujud, SPRM tolak dakwaan menteri kanan terima RM3 juta

Azam Baki ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini untuk memerhatikan prosiding pendakwaan rasuah terbaru ke atas bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini menolak dakwaan sebuah syarikat kejuruteraan pernah memindahkan AS$741,440 (kira-kira RM3.1 juta) ke satu akaun bank milik seorang menteri kanan.

“Akaun dan transaksi itu tidak wujud,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki selepas menghadiri kes rasuah terbaru bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

“Satu lagi akaun bank yang dikatakan dibuka pada 2012 juga tidak wujud,” katanya ketika ditanya siasatan SPRM ke atas dakwaan RM3 juta yang dipindahkan ke akaun bank luar negara seorang menteri kanan.

Pada 11 Jun lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam membuat laporan kepada SPRM berhubung pemindahan kira-kira RM3 juta daripada sebuah syarikat kejuruteraan terkemuka tempatan ke akaun bank seorang menteri kanan pada 19 Disember 2017, selepas beberapa tangkap layar berhubung transaksi itu mula tersebar di media sosial.

Gambar itu tersebar serentak dengan beberapa klip video 2 lelaki mengadakan hubungan seks sejenis yang dilihat berlaku di sebuah bilik hotel.

Pada 13 Jun lalu, Maybank dilaporkan berkata, dokumen nasihat pemindahan dana kepada seorang menteri menggunakan akaun bank itu yang disebarkan dalam media sosial adalah palsu.

“Dokumen nasihat pemindahan dana itu yang disebarkan dalam talian tidak dikeluarkan bank ini dan nombor akaun Maybank yang dinyatakan pada dokumen itu adalah tidak sah.

“Oleh kerana dokumen yang mengandungi nama Maybank itu kelihatan seperti dokumen yang telah dipalsukan, Maybank akan mengambil tindakan perlu untuk melindungi kepentingannya,” kata jurucakap Maybank.

Sementara itu, Azam berkata, SPRM tidak menolak kemungkinan akan memfailkan lebih banyak saman pelucuthakan sivil terhadap individu yang dikatakan menerima dana daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Kami akan umumkan jika ada lagi.”

Jumaat lalu, SPRM mengumumkan ia memfailkan permohonan pelucuthakan sivil terhadap 41 individu serta entiti untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta dana 1MDB yang didakwa dipindahkan ke akaun Najib.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya dilaporkan berkata, penerima terbesar wang itu ialah beberapa negeri dan bahagian Umno yang berjumlah RM212 juta.

Semalam, Umno dan 6 pihak lain diperintah memfailkan afidavit mereka untuk menjawab saman itu.