Hutang negara kini melepasi angka RM800 bilion, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini berkata, hutang rasmi kerajaan kini telah melepasi angka RM800 bilion

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata, ini kerana langkah terbaru kerajaan meminjam RM3.5 bilion hari ini, setelah membuat pinjaman sebanyak RM4 bilion Khamis lepas.

Bekas menteri kewangan itu berkata, ini menjadikan hutang rasmi Malaysia sebanyak RM800.9 bilion, berbanding RM686.8 bilion pada akhir 2017 di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, angka terbaru itu tidak termasuk RM82 bilion daripada Petronas yang dibayar kepada kerajaan, serta penjualan pelbagai aset kerajaan sebelum ini.

“Selepas pinjam dengan banyak tahun lepas, kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus menambah hutang negara untuk tahun ini pada kadar jauh lebih pantas berbanding pada masa BN,” katanya.

“Idaman PH untuk hutang rasmi negara sampai RM1 trilion semakin hampir.”

Najib berkata, dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini sahaja, PH meminjam sebanyak RM77.8 bilion daripada pasaran bon domestik dan samurai Jepun, sementara ia membayar hutang hanya sebanyak RM17.7 bilion.

Kini katanya, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berada di China untuk membincangkan bon panda yang bermakna lebih banyak pinjaman daripada China.

Beliau berkata, sekiranya PH meneruskan trend pinjaman ini, ia akan menambah sebanyak RM140 bilion hutang kerajaan pada 2019 sahaja.

“Silap-silap hutang rasmi negara boleh sampai RM900 bilion pada akhir tahun ini dan RM1 trilion pada pertengahan tahun depan.”