Jepun, Petronas setuju lanjut kontrak perolehan urea

Jepun, Petronas setuju lanjut kontrak perolehan urea

Jepun sebelum ini bersetuju mengimport urea melalui anak syarikat Petronas selama dua tahun.

SUZUKI NORIKAZU
Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun Norikazu Suzuki (tiga dari kiri) memeriksa barangan dari negaranya yang dijual di sebuah pasar raya di Lalaport, Pudu, Kuala Lumpur, hari ini.
PETALING JAYA:
Jepun dan syarikat minyak negara, Petronas bersetuju melanjutkan kontrak perolehan urea susulan kebimbangan terhadap gangguan bekalan baja global akibat konflik Timur Tengah.

Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, Norikazu Suzuki, berkata negara itu kini mengimport tiga perempat daripada ureanya dari Malaysia.

Urea merupakan bahan mentah penting dalam baja.

Jepun sebelum ini bersetuju mengimport urea melalui anak syarikat Petronas selama dua tahun.

“Di tengah-tengah ketidakpastian berterusan di Timur Tengah, pengeluar memerlukan baja pada musim luruh dan saya percaya terdapat juga kebimbangan mengenai tahun depan,” kata Suzuki menurut NHK.

Menurut kementerian Suzuki, Malaysia menyumbang 74% daripada 256,000 tan urea yang diimport antara Jun 2024 dan Jun 2025, diikuti Vietnam 10%.

BBC hari ini melaporkan banyak negara mengimport sejumlah besar baja dari rantau Teluk Parsi dan dalam beberapa minggu selepas perang Iran, harga urea melonjak lebih 40%.

Apabila Iran diserang Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Feb lalu, Selat Hormuz yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada aliran perdagangan baja dunia melalui laut, ditutup sepenuhnya.

Petronas melalui anak syarikatnya, Petronas Chemicals Group Berhad merupakan pengeluar dan pengeksport utama urea di Asia Tenggara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.