Adunan biodiesel B15 beri kelebihan kepada pengeluar, bukan pengilang

Adunan biodiesel B15 beri kelebihan kepada pengeluar, bukan pengilang

Langkah naik kandungan minyak sawit dijangka boleh bantu pengeluar tingkat pengeluaran biodiesel, namun tiada impak besar terhadap pengilang.

petronas oil refinery
Malaysia rancang naikkan kandungan minyak sawit dalam biodiesel daripada 10% kepada 15% secara berperingkat, bermula dengan 10%. (Gambar Petronas)
PETALING JAYA:
Keputusan kerajaan meningkatkan kandungan minyak sawit dalam biodiesel daripada 10% kepada 15% akan memberi impak positif kepada pengeluar, tetapi hampir tiada kesan kepada pengguna industri, menurut dua kumpulan berkepentingan.

Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) Tee Lip Teng berkata, langkah itu akan meningkatkan permintaan biodiesel, dan seterusnya membantu memanfaatkan kapasiti pengeluaran biodiesel yang tidak digunakan di negara ini.

Tee Lip Teng
Tee Lip Teng.

Tambahnya, usaha ini juga boleh membantu Malaysia mendepani kejutan bekalan bahan api global.

“Kami jangkakan adunan biodiesel yang lebih tinggi iaitu B12 dan/atau B15 akan menghasilkan permintaan tempatan tambahan sehingga 334,000 tan metrik setahun.

“Ini akan meningkatkan kadar penggunaan kilang-kilang sedia ada,” katanya kepada FMT, memetik data Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Malaysia mula mengeluarkan biodiesel secara komersial pada awal 2000an untuk menguasai sebahagian pasaran global yang semakin berkembang, namun eksport merosot ekoran garis panduan yang semakin ketat di Eropah dan Amerika Syarikat.

Tahun lepas, Malaysia menghasilkan hampir sejuta tan biodiesel di bawah mandat adunan sedia ada, mewakili kurang separuh jumlah kapasiti pengeluaran tahunan industri sebanyak 2.4 juta tan.

Daripada jumlah itu, 95% digunakan untuk pasaran tempatan manakala hanya 57,000 tan dieksport.

Tee berkata, penerimaan secara sukarela di luar mandat yang ditetapkan masih terhad.

“Sebarang penggunaan di luar mandat sebahagian besarnya didorong oleh komitmen ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) atau kelebihan harga jangka pendek,” katanya.

“Sehubungan itu, pihak industri berharap kerajaan akan mempertimbangkan permohonan MBA untuk pengecualian cukai jualan sebanyak 10% bagi biodiesel yang digunakan di luar program biodiesel negara. Ini akan menggalakkan penggunaan biodiesel secara sukarela yang lebih meluas melangkaui syarat adunan yang diwajibkan.”

Malaysia ketika ini menguatkuasakan mandat B10 untuk sektor pengangkutan, manakala adunan yang lebih tinggi sehingga B20 digunakan di tempat-tempat seperti Labuan, Langkawi dan Sarawak, kecuali bandar Bintulu.

Huruf ‘B’ dan nombor tersebut merujuk kepada peratusan minyak sawit dalam campuran biodiesel. Sebagai contoh, B10 bermaksud 10% minyak sawit dan 90% diesel petroleum (petrodiesel), manakala B15 bermaksud 15% minyak sawit.

Kerajaan telah menyatakan bahawa ia akan menaikkan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15, bermula dengan tahap B12 sebagai langkah interim.

Rancangan itu sebahagian besarnya didorong oleh risiko bekalan bahan api global yang semakin meningkat. Hampir separuh import minyak mentah Malaysia melalui Selat Hormuz, laluan perkapalan utama yang kini terjejas akibat konflik di Timur Tengah.

Pada peringkat domestik, subsidi bahan api juga dijangka mencecah kira-kira RM7 bilion sebulan, meningkat daripada RM4 bilion sebelum ini.

Jacob Lee
Jacob Lee.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Jacob Lee berkata, penggunaan biodiesel dalam campuran bahan api hanya memberi impak yang kecil terhadap keseluruhan kos bahan api industri.

Katanya, harga minyak global masih memainkan peranan terbesar dalam menentukan kos diesel, terutamanya kerana pengilang tidak menerima subsidi bahan api.

“Secara tradisinya, diesel bersubsidi disasarkan kepada segmen tertentu, khususnya pengusaha logistik dan pengangkutan yang menggunakan kenderaan dalam kategori yang melayakkan mereka menerimanya.

“Oleh itu, pengilang sentiasa beroperasi dalam keadaan harga bahan api berasaskan pasaran, menjadikan jaminan dan kestabilan bekalan sebagai kebimbangan utama,” katanya kepada FMT.

Pengguna turut dinasihatkan agar tidak membuat andaian bahawa biodiesel akan menjadi lebih murah berbanding petrodiesel.

Menurut Tee, kos pengeluaran biodiesel juga bergantung kepada perubahan harga minyak sawit, dan adakalanya penggunaan biodiesel boleh jadi lebih mahal daripada petrodiesel.

Bagaimanapun, katanya, usaha meningkatkan kandungan minyak sawit dalam biodiesel akan membantu menampung bekalan diesel sedia ada dan mengurangkan pendedahan Malaysia terhadap gangguan bekalan global.

“Bagi setiap tan metrik minyak sawit yang digunakan (dalam proses adunan), satu tan metrik petrodiesel dapat dijimatkan,” katanya sambil menambah, kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama minyak sawit menjamin bekalan domestik yang berterusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.