
Bekas presiden Umno menasihati ahli parti Umno supaya kembali bersatu, selain mengingatkan mana-mana pihak yang tidak suka Zahid kembali menerajui parti itu supaya menunggu 3 tahun apabila mandat yang diberikan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tamat.
“Datuk Zahid sudah balik sebagai presiden parti sebab dia ada mandat sampai 3 tahun.
“Kita terima, kalau kita tidak suka (Zahid), kita tunggu 3 tahun,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Setiawangsa di sini, hari ini
Kenyataan Najib itu dipercayai berkait desas-desus bahawa Umno kembali berdepan krisis perpecahan berikutan pengumuman Zahid untuk kembali memimpin parti itu Ahad lepas.
Dalam ucapan sama, Najib turut mengingatkan penyokong dan pemimpin Umno supaya menolak budaya berpuak-puak dalam parti sehingga membawa kepada keadaan huru hara.
“Jangan ada kem dalam Umno, jangan ada puak dalam Umno. Jangan buat huru hara dalam parti.
“Kita mesti bersatu untuk rakyat. Rakyat nak apa? Rakyat nak ‘food on the table’. Orang muda nak pekerjaan. Umno mesti beri perhatian.
Najib berkata, Umno tidak akan mendapat kembali sokongan rakyat jika ahli dan pemimpin asyik berperang.

“Biar rakyat yakin dengan kita, kalau kita huru hara berperang rakyat. tak yakin pada kita.
“Kita nak berkuasa balik kan? Buatlah cara nak berkuasa balik. Jangan bergaduh memanjang,” katanya.
Ketika ditemui media selepas majlis perasmian itu, Najib menolak dakwaan bahawa Umno kini kembali menghadapi perpecahan selepas Zahid kembali menerajui parti.
Beliau berkata, kenyataannya itu dibuat secara umum supaya ahli dan pimpinan memberikan tumpuan kepada kekuatan parti dan bersatu untuk rakyat.
“(Umno) tidak (berpecah), ia bunyi dalam sosial media sahaja. Kita perlu hentikan ini semua. Mungkin seorang dua sahaja, tapi masuk sosial media, jadi besar cerita,” katanya.
Umno dilaporkan berpecah kepada 4 kumpulan selepas Zahid memenangi jawatan presiden parti itu tahun lepas sehingga membawa kepada desakan supaya beliau mengundurkan diri kerana dilihat tidak mampu mengurus dan mengemudikan parti.
Bekas timbalan perdana menteri itu, yang kini berdepan 87 pertuduhan jenayah, mengambil cuti selama 6 bulan bermula Disember lepas, atas tujuan menghentikan arus keluar parti dalam kalangan wakil rakyat Umno.
Timbalan beliau, Mohamad Hasan mengambil alih tugas selaku pemangku presiden.
Disember lepas, pemimpin Umno Johor, Md Jais Sarday berkata, kumpulan pertama merupakan mereka yang mahu parti berjuang dengan semangat untuk memelihara agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air, selain menjadi pembangkang yang berwibawa di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, kumpulan ke-2 adalah mereka yang mahu Umno bekerjasama dengan PAS dan seterusnya mewujudkan satu gerakan kesedaran orang Melayu dalam mempertahankan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara.
Kumpulan ke-3 pula, merupakan kelompok yang menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kerana janji tertentu, selain berpendapat presiden PKR itu tidak akan mendapat laluan mudah seperti disebut dalam perjanjian Pakatan Harapan (PH) tentang penggiliran jawatan dengan Dr Mahathir Mohamad.
Kumpulan ke-4 pula adalah mereka yang mahu memperkukuhkan suara Melayu dalam kerajaan menyebabkan ramai yang keluar parti dan menyertai PPBM, katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian sebelum ini.
Zahid sendiri dilaporkan berkata, Umno berpecah kepada 5 kumpulan selepas tewas dalam pilihan raya umum ke-14.
Presiden Umno itu berkata, ini termasuklah mereka yang mahu mempertahankan status quo dan tidak bekerjasama dengan parti lain.