Polis rampas 230 senjata api tiruan bernilai RM70 ribu dijual secara atas talian

Polis rampas 230 senjata api tiruan bernilai RM70 ribu dijual secara atas talian

Senjata api tiruan yang dirampas terdiri daripada 17 laras raifal dan 213 pucuk pistol pelbagai jenis serta komponennya bernilai kira-kira RM70,000.

Siasatan polis mendapati senjata api tiruan yang diseludup dari negara jiran dijual secara atas talian pada harga antara RM100 dan RM2,000 seunit dan dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kurier. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis senjata api tiruan yang diseludup masuk dari negara jiran dalam serbuan di sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit di Pandang Besar, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Muhamad Halim Yatim berkata, senjata api tiruan yang dirampas itu terdiri daripada 17 laras raifal dan 213 pucuk pistol pelbagai jenis serta komponennya bernilai kira-kira RM70,000.

“Rumah yang diserbu itu dipercayai dijadikan tempat simpanan senjata api tiruan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ketika serbuan pada 8.15 malam Rabu itu, isteri dan anak perempuan lelaki terbabit turut berada di rumah itu.

Siasatan awal polis mendapati lelaki berusia 29 tahun itu menggunakan “runner” untuk menyeludup senjata api tiruan dan menjualnya secara dalam talian dengan harga antara RM100 dan RM2,000 seunit mengikut jenis dan dihantar kepada pelanggan melalui perkhidmatan kurier, katanya.

Muhamad Halim berkata, lelaki yang pernah ditangkap dan dikompaun oleh Kastam pada 2016 kerana membawa masuk barang larangan itu, dipercayai menjalankan aktiviti haram itu sejak awal 2016.

“Polis kini menjejaki seorang tauke dan individu lain yang dipercayai terlibat dalam urusan jual beli senjata api tiruan yang mungkin digunakan untuk tujuan jenayah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.