
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain, berkata 264 daripada 360 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan dan Op Delta merupakan warga Myanmar.
Menurutnya, jumlah itu jauh mengatasi warga asing lain, termasuk 40 warga Thailand, Bangladesh (30), Indonesia (9), India (8), Vietnam (4), China (3), Nepal (1) dan Pakistan (1).
“Dalam tempoh sama, PGA turut menahan sembilan tekong darat yang dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan migran di kawasan sempadan.
“Sebanyak 78 serbuan dilaksanakan melibatkan kawasan sekitar Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Kota Bharu,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, antara lokasi panas dikenal pasti sering digunakan sebagai laluan masuk Pati ialah pangkalan haram di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Jeram Perdah dan Chabang Empat.
Jelasnya, 110 kes telah disabitkan terhadap Pati dan tekong ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Tegasnya, PGA akan terus memperketatkan kawalan dan memperhebatkan operasi bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara.
“Pihak polis juga mengharapkan kerjasama orang awam terus menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.”