
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain, berkata anggota sedang membuat rondaan mengesan sebuah Toyota Innova dan Nissan Serena dalam keadaan mencurigakan.
Selepas menyedari kenderaan diekori pihak berkuasa, beliau berkata, pemandu memasuki ruang parkir masjid sebelum melarikan diri.
Jelasnya, 11 warga Myanmar ditemui dalam Toyota Innova dan sembilan lagi dalam Nissan Serena, dengan semuanya dipercayai diseludup melalui Sungai Golok.
“Hanya tujuh individu mengemukakan pasport, namun tiada cop kemasukan sah ke Malaysia, manakala 13 lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Turut dirampas tujuh pasport, 22 telefon bimbit dan dua kenderaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM88,200,” katanya menurut Harian Metro.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, kumpulan itu memasuki Malaysia dengan menaiki bot merentas Sungai Golok melalui laluan haram di sekitar Rantau Panjang.
“Walaupun mereka tidak mengenal pasti nama sebenar lokasi pendaratan, namun pihak polis percaya kumpulan itu menggunakan Pangkalan Haram Yasin sebagai laluan masuk.”
Menurutnya, semua suspek dikenakan bayaran berbeza mengikut destinasi, iaitu RM3,000 hingga RM6,000 seorang selepas berjaya dihantar ke lokasi akhir atau mendapat pekerjaan.
“Kami percaya modus operandi terbabit menunjukkan kewujudan sindiket penyeludupan migran yang terus aktif menggunakan laluan sungai sebagai pintu masuk utama.”