Saman cukai LHDN RM1.69 bilion terhadap Najib, kes terbesar dalam sejarah negara, kata peguam

Bekas perdana menteri Najib Razak.

PETALING JAYA: Saman sivil yang difailkan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan semula cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion mungkin merupakan jumlah terbesar yang dikenakan ke atas seorang individu di negara ini, kata seorang peguam.

“Kemungkinan ini adalah tunggakan cukai ke atas seorang individu paling besar walaupun ada syarikat yang diminta membayar hingga berbilion ringgit,” kata peguam cukai dan kastam S Saravana Kumar.

LHDN memfailkan saman itu pada 25 Jun meminta Najib membayar RM1,692,872,924.83 yang didakwa dimiliki antara 2011 dan 2017.

Saravana berkata, undang-undang percukaian di Malaysia menetapkan bahawa semua jumlah yang kena dibayar hendaklah diselesaikan terlebih dahulu sebelum individu terbabit memfailkan rayuan.

“Jika Najib gagal memfailkan rayuan terhadap taksiran ini, cukai yang dituntut menjadi muktamad dan konklusif dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Beliau berkata, tidak jelas daripada laporan berita sama ada Najib telah memfailkan rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan atau memulakan prosiding semakan kehakiman.

Katanya, individu yang terbabit dalam saman tersebut boleh memohon penangguhan prosiding terhadap penguatkuasaan ke atas aset yang dipertikaikan sekiranya semakan kehakiman telah difailkan.

Bagaimanapun katanya, rayuan tidak akan menghalang LHDN daripada meneruskan prosiding sivil terhadap seorang pembayar cukai yang belum menjelaskan cukainya. Perkara ini diperuntukkan di bawah Seksyen 103 dan 106 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pengurusan kes bagi saman terhadap Najib itu ditetapkan pada 25 Julai ini.

Difahamkan writ saman diserahkan kepada Najib sebagai defendan tunggal pada 4 Julai.

Saman itu dibuat selepas Najib gagal bertindak berhubung tuntutan asal LHDN pada Mac bagi taksiran cukai tambahan sebanyak RM1.47 bilion.

Ini menyebabkan pertambahan 10% sebanyak RM147 pada April dan pertambahan kompaun 5% RM80 juta pada Mei.

Tambahan 10% dikenakan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan selepas Najib gagal membayar jumlah asal RM1.47 bilion dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis taksiran dikeluarkan.

Bekas perdana menteri itu juga gagal membayar jumlah tuntutan baru dalam tempoh 60 hari di bawah peruntukan sama, yang menyebabkan pertambahan kompaun sebanyak 5%.