
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun berkata, dua jenis cukai berkenaan ialah cukai kutipan Jabatan Kastam dan cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Untuk 2025, Masidi berkata, jumlah gabungan cukai langsung (LHDN) dan cukai tidak langsung (Kastam) dikutip di Sabah adalah sebanyak RM7.547 bilion dengan 40% daripadanya dianggarkan berjumlah RM3.019 bilion.
“Pendirian kita (kerajaan Sabah) ialah cukai tidak dipertikaikan jumlahnya hendaklah dibayar dahulu atau sekarang, sebelum kita berunding dengan cukai-cukai lain yang masih dalam proses perundingan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Alias Sani (Warisan-Sekong) dalam sesi soal jawab pada siding DUN Sabah.
Beliau ingin tahu mengenai jumlah hasil daripada cukai Kastam dan LHDN yang diserahkan kerajaan persekutuan kepada kerajaan Sabah.
Masidi berkata, data kutipan bagi kedua-dua hasil cukai itu disiarkan untuk pengetahuan umum setiap tahun, justeru, tidak seharusnya menimbulkan keraguan untuk dilaksanakan pembayaran terlebih dahulu.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Chong Chen Bin ketika menjawab soalan asal Alias berkata, kerajaan persekutuan telah mengemukakan sebahagian data hasil Persekutuan didapati di Sabah dari 1974 hingga 2025.
Katanya, data itu dikemukakan melalui mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah pada 28 Jan lepas, serta mesyuarat Jawatankuasa Kerja Rundingan Pemberian Khas Peringkat Pegawai Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah pada 27 Feb dan 13 Mac.
Bagaimanapun, Chong berkata, data tersebut tidak dapat dikongsi atau disiar secara umum dan hanya untuk tujuan mesyuarat sahaja.
“Beberapa komponen hasil telah disenaraikan terdiri daripada cukai langsung, cukai tidak langsung, hasil bukan cukai, dan hasil petroleum melibatkan royalti dan cukai pendapatan petroleum.
“Namun, semua komponen hasil ini masih tertakluk dalam rundingan untuk diambil kira sebagai hasil Persekutuan didapati di Sabah dalam pengiraan Pemberian Khas,” katanya.
Terdahulu, Alias dalam soalan asalnya ingin tahu berapa jumlah kutipan kerajaan persekutuan di Sabah sejak 1974 hingga 2024.