Azmin buat kenyataan tidak faham konteks, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim percaya kenyataan Timbalan Presiden Azmin Ali yang memintanya “melihat cermin” dibuat tanpa memahami konteks dan kenyataan asal beliau semalam.

Anwar berkata, beliau memahami keadaan Azmin dan seluruh ahli keluarganya yang ketika ini mengalami keadaan sukar selepas dikaitkan dalam rakaman video seks sejenis melibatkan Haziq Aziz.

“Seperti saya katakan semalam, dia ketika ini melalui saat sukar dan saya tidak rasa saya mahu respons kepada kenyataan spontan dan melulu yang dibuatnya itu. Azmin berkata demikian tanpa membaca keseluruhan kenyataan (saya).

“Dia (Azmin) ingat saya adakan sidang media semalam semata-mata mahukan beliau meletakkan jawatan. Ia tidak benar. Anda semua dengar saya katakan, bahawa saya menolak politik jijik.

“Jika dia tidak disabitkan kesalahan, jadi tidak ada kes dalam isu berkenaan,” katanya dalam sidang media, di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Azmin mahu Anwar “cermin diri sendiri”, selepas presiden PKR itu dilaporkan berkata, bahawa Azmin perlu melepaskan jawatan jika video seks sejenis dikatakan melibatklan menteri hal ehwal ekonomi itu didapati sahih.

Anwar berkata, beliau sudah menghubungi Azmin bagi membincangkan secara peribadi mengenai pandangannya semalam.

Bahkan katanya, beliau turut menyatakan komitmen untuk hadir ke mana-mana acara bagi membantu meleraikan kemelut yang berlaku dalam parti.

“Saya sudah 2 kali hubunginya dan kali ke-2, saya katakan kepadanya ini bukan soal politik. Saya sedia berbincang, hadir ke mana-mana sahaja untuk bantu meleraikan masalah. Keluar dari sempadan politik. Ini yang saya jelaskan kepada beliau,” katanya.

Jelas Anwar, kenyataanya semalam, yang dilaporkan media sengaja disensasikan walaupun mengakui sebelum itu beliau sudah dinasihatkan supaya tidak melayan soalan daripada pemberita.

Mengulas mengenai kenyataan 27 pemimpin PKR hari ini, yang mengkritik kenyataannya terhadap Azmin semalam, Anwar berkata beliau menerima baik pandangan berkenaan.

“Maksud mereka untuk pastikan parti ini tidak kelihatan terlalu tegang. Jadi mereka mengingatkan dan mengeluarkan kenyataan supaya kita bersatu. Saya terima baik pandangan ini.

“Tetapi ada laporan media yang katakan mereka menempelak. Nampak macam mereka mempertikaikan kewibawaan saya sebagai presiden. Namun hakikatnya tujuan mereka baik,” katanya.

Setakat hari ini, 9 orang ditahan kerana disyaki mengedar klip video terbabit, termasuk bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz yang mengaku secara terbuka bahawa beliau merupakan salah seorang lelaki dalam video itu.

Haziq menamakan Azmin sebagai pasangannya – dakwaan yang dinafi keras oleh timbalan presiden PKR itu yang menyifatkannya sebagai usaha untuk membunuh kerjaya politik beliau.

Turut ditahan ialah pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Rizal Mubarak, yang dilihat sebagai anggota “kem Anwar” dalam parti itu.