
Katanya, PKR tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada mana-mana ahli PKR yang terlibat dan disabitkan kesalahan mereka.
“Berkenaan dakwaan terdapat ahli atau pemimpin parti politik yang terlibat dalam tindakan sebaran video tersebut, PKR tidak bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas mengikut perlembagaan parti jika terdapat penglibatan mana-mana anggota PKR yang disabitkan kesalahan berlandaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar juga mengulangi pendirian bahawa PKR menolak politik jijik sekeras-kerasnya.
Pada 18 Julai, Hamid mengumumkan kebarangkalian video seks sejenis yang dikatakan melibatkan Azmin itu tulen adalah tinggi berdasarkan analisis CyberSecurity Malaysia.
Bagaimanapun katanya hasil analisis yang sama tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip menteri itu.
Pada 12 Jun, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz menggemparkan negara dengan membuat pengakuan bahawa beliau merupakan salah seorang individu dalam klip video seks sejenis yang dikatakan dirakam di sebuah hotel di Sandakan, Sabah.
Haziq menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu.
Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Haziq ditahan pada 14 Jun dan disiasat atas 4 kesalahan, termasuk melakukan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah.
Setakat ini, polis menahan 11 individu kerana menyebarkan klip video tersebut termasuk Haziq dan pemimpin PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga merupakan setiausaha politik Anwar Ibrahim.