SKMM siasat pihak guna nama PM promosi Bitcoin

SKMM siasat pihak guna nama PM promosi Bitcoin

Pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama PM menerusi e-mel dan laman sesawang bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin.

Pejabat Perdana Menteri mendakwa terdapat 2 insiden penyalahgunaan nama Dr Mahathir Mohamad bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin. (Gambar AFP pic.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan siasatan insiden penyalahgunaan nama perdana menteri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menerusi e-mel dan laman sesawang bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin.

SKMM dalam kenyataan memaklumkan siasatan itu akan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia bagi mengenal pasti dalang dan sumber yang mengeluarkan e-mel itu.

“SKMM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang dilakukan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Menurut SKMM, kewujudan dan penghantaran sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukan denda maksimum RM50,000 atau penjara 1 tahun atau kedua-duanya.

Justeru, orang ramai turut diminta tampil membuat aduan sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung isu itu bagi membolehkan tindakan susulan diambil SKMM.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 22 Julai memaklumkan terdapat 2 insiden oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama Dr Mahathir Mohamad menerusi e-mel dan laman sesawang bagi meraih sokongan peribadi dan mempromosi perniagaan Bitcoin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.