Berebut kuasa di persekutuan hingga hak Sabah diketepikan, kata Yong

KOTA KINABALU: Hak-hak Sabah terus diketepikan kerana ahli-ahli politik pemerintah persekutuan asyik dengan perebutan kuasa, kata Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee.

Berucap di sambutan ulangtahun ke-25 partinya di Penampang hari ini, Yong berkata tiada apa yang berubah walaupun bertukar kerajaan pada pilihan raya umum lepas.

“Di era Malaysia pasca Umno/Barisan Nasional, saya tak gelar era sekarang ‘Malaysia Baru’ kerana kita tak nampak perkara-perkara baru. Rancangan-rancangan politik di peringkat persekutuan sekarang berlaku kerana perebutan kuasa antara kumpulan-kumpulan berkepentingan.

“Dalam perebutan kuasa mereka, hak-hak Sabah sengaja diketepikan. Janji-janji antaranya hasil minyak dan gas, 50% cukai dipulangkan kepada Sabah, lebih banyak dana pembangunan dilupakan,” katanya.

Bekas ketua menteri itu berkata dalam masa sama, kerajaan negeri pimpinan Warisan nampak seperti tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Kerajaan seperti dipandu sendiri. Ketidakpastian politik ini memburukkan lagi ekonomi yang tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan.”

Yong Teck Lee.

Yong ketika ditemui pemberita berkata kontroversi video seks sejenis, yang menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang menafikan dakwaan itu, antara jenis-jenis rancangan politik yang dimaksudkan dalam ucapannya.

“Video itu gejala perebutan kuasa. Video itu muncul kerana ada perebutan kuasa – ia bukan punca perebutan kuasa. Itu hakikatnya.

“Kumpulan-kumpulan berkepentingan pula adalah orang-orang yang akan kerugian jika ada calon perdana menteri berubah,” katanya.

Ketika paritnya meraikan ulangtahun ke-25, Yong mempertahankan keputusan SAPP meninggalkan BN pada 2008 dan menegakkan perjuangan hak Sabah.

SAPP meninggalkan BN dengan alasan ia tidak lagi meyakini kepimpinan perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi.

Mengambil contoh perjuangan di Indonesia, Filipina dan Scotland, Yong berkata perjuangan menuntut autonomi selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata trend autonomi wilayah di serata dunia menunjukkan haluan SAPP dan rakan-rakannya dalam Gabungan Sabah adalah betul dan akan terbukti wajar.

“10 tahun lalu, kebanyakan rakyat termasuk orang Sabah tak sedar tentang MA63.

“Tetapi kini, MA63 menjadi agenda perdana di Sabah. Kerajaan persekutuan juga menyuarakan sokongan kepada pematuhan perjanjian itu tetapi kita belum nampak sebarang kemajuan,” katanya.

Yong juga menyeru ahli-ahli partinya supaya terus bertahan dalam aspirasi memenangi kerusi di Sabah.

Mengenai potensi kerjasama dengan Umno, Yong menjawab: “Kami tak fikir Umno akan dapat semula kuasa, dan ketua, parti itu belum reformasi. Apa yang kami nampak, Umno masih Umno.”

Beliau bertegas kerajaan Sabah harus hanya dianggotai parti-parti tempatan, seperti di Sarawak.

“Dalam MA63, parti-parti bukan tempatan atau parti-parti Tanah Melayu tidak sepatutnya jadi sebahagian daripada kerajaan negeri,” katanya, dan menambah kerjasama antara negeri dan kerajaan persekutuan harus kekal.