Penganalisis lihat Anwar PM jangka pendek jika Dr M lewat serah kuasa

Di bawah satu perjanjian yang dipersetujui pemimpin PH, Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, tetapi tiada tarikh tertentu ditetapkan.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menjangkakan Presiden PKR Anwar Ibrahim akan berdepan masalah dalam memegang jawatan sebagai perdana menteri sekiranya Dr Mahathir Mohamad menunggu terlalu lama sebelum menyerahkan kuasa kepada beliau.

Bercakap kepada FMT, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, Anwar memerlukan masa untuk memperkuatkan Pakatan Harapan (PH) dan pentadbiran Putrajaya dengan penyokongnya, dan ia mungkin terlalu lewat sekiranya beliau menjadi perdana menteri terlalu dekat dengan pilihan raya umum ke-15.

“Beliau mungkin tidak cukup masa untuk melakukan perkara yang beliau mahu dan perlu lakukan bagi menghasilkan natijah yang sama seperti dilakukan oleh Mahathir selepas pilihan raya umum ke-14,” katanya.

“Peluang beliau untuk kekal sebagai PM sangat nipis.”

Beliau berkata, Anwar perlu menggesa ditetapkan tarikh khusus untuk diberikan kuasa. Jika tidak katanya, lebih ramai pemimpin PH akan menyahut gesaan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, supaya Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal.

Pemerhati percaya Azmin memimpin satu kem dalam PKR yang menentang Anwar. Baru-baru ini beliau berkata, Mahathir masih diperlukan sebagai perdana menteri bagi memastikan “kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan” dalam usaha kerajaan menarik pelabur dan mencipta peluang pekerjaan.

Di bawah satu perjanjian yang dipersetujui pemimpin PH, Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, tetapi tiada tarikh tertentu ditetapkan.

Seorang lagi penganalisis, Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia, menolak pandangan Azmi dengan berkata, Anwar tidak harus bersikap terlalu mendesak.

Katanya, Anwar membuat satu kenyataan pada Februari lepas yang menyebut bahawa beliau menjangka menjadi PM dalam tempoh tidak lebih 2 tahun.

“Hanya selepas tempoh 2 tahun itu tamat, barulah munasabah sekiranya Anwar dan pemimpin PKR lain membuat kenyataan terbuka meminta kuasa diserahkan,” katanya.

Kamarul berkata, beliau juga tidak percaya sekiranya peralihan kuasa itu berlaku terlalu dekat dengan pilihan raya umum ke-15, maka ia akan memberi kesan ke atas peluang Anwar memegang kuasa selepas itu.

“Mahathir berkata beliau mahu memulihkan masalah ekonomi dulu sebelum menyerahkan kuasa kepada Anwar,” katanya. “Jika ini berlaku, Anwar boleh memanfaatkannya.

“Jika negara masih bermasalah apabila beliau mengambil alih kuasa, maka Anwar boleh menyalahkan Mahathir. Beliau boleh membuat janji baru kepada pengundi.”