
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sering melaungkan sukan untuk semua atau “sports for all”.
Namun apakah sukan itu benar-benar untuk semua?
Jika dilihat perkembangan sukan negara, terutamanya ibu kepada segala jenis sukan di negara ini, iaitu sukan bola sepak, pihak FAM khususnya lebih suka memberi tumpuan kepada pasukan lelaki, tidak kepada pasukan bola sepak wanita negara.
Pihak pengurusan FAM mungkin ingin fokus untuk menaikkan pasukan bola sepak lelaki setanding zaman kegemilangan arwah Mokhtar Dahari yang melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik.
Namun begitu, saya tidak bersetuju dengan segala bentuk layanan yang tidak sama rata terhadap atlet wanita.
Sebagai contoh pasukan futsal wanita negara yang berjaya merangkul pingat gangsa di Sukan SEA Myanmar pada tahun 2013 manakala pada tahun 2015 mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok 5 terbaik Asia di bawah kendalian jurulatih Chiew Chun Yong.
Jurulatih tersebut kemudiannya ditukarkan untuk mengemudi pasukan futsal lelaki yang akhirnya membawa pasukan futsal lelaki Malaysia mendapat pingat perak pada Sukan SEA 2017.
Melihatkan kecenderungan FAM yang menukarkan jurulatih apabila melihat keberkesanan mereka mengendali pasukan wanita, untuk kemudiannya mengemudi pasukan lelaki, akhirnya menyebabkan prestasi pasukan futsal wanita negara jatuh merudum.
Ia terbukti pada Sukan SEA 2017 apabila mereka gagal mendapatkan pingat untuk negara.
Sehingga hari ini kesannya masih jelas kelihatan pada pasukan futsal wanita negara yang seringkali disisihkan.
Apakah hanya kerana mereka wanita mereka dilayan seperti ini? Mengapa setiap kejayaan mereka seolah-olah didiamkan oleh media massa?
Begitu juga dengan sukan olahraga, tinju, muay thai, bola keranjang dan pelbagai jenis sukan lagi.
Terbaru kita dikejutkan dengan berita tentang Nor Diana penggusti berhijab pertama yang menjuarai kejohanan profesional dan mengharumkan nama negara walaupun sukan itu didominasi oleh kaum lelaki.
Namun apakah perancangan jangka panjang untuk sukan ini terus berkembang, terutamanya dalam kalangan wanita?
Dalam sukan olahraga, atlet wanita juga sering disisihkan. Sebagai contoh atlet pecut wanita negara Zaidatul Husniah, namanya tinggal sepi begitu sahaja walaupun berjaya menempatkan diri untuk bertanding dalam pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro pada tahun 2016.
Begitu juga dengan S Komalam, Siti Fatimah yang masih lagi dalam lapangan ini namun seperti dianaktirikan oleh Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang seringkali memfokuskan pada pembangunan atlet lelaki semata-mata.
Kita sering mendengar nama atlet pecut lelaki seperti Khairul Hafiz Jantan meniti di bibir peminat sukan olahraga negara dek tumpuan media terhadap atlet ini. Kita terlepas pandang pencapaian atlet pecut wanita negara dan akhirnya nasib mereka juga tiada siapa yang tahu.
Pada perhimpunan KBS Julai lalu, menteri belia dan sukan menyampaikan asirasi beliau yang inginkan wanita tampil ke hadapan dalam bidang sukan.
Realitinya bukan wanita tidak ingin tampil ke hadapan, tetapi diskriminasi gender dalam sukan terlampau menebal.
KBS arus turut memfokuskan agenda pemerkasaan atlet wanita, selain mendesak persatuan sukan memberi layanan sama adil antara atlet lelaki dan wanita.
Jangan hanya kerana pencapaian mereka tidak segah mana mereka langsung tidak dipedulikan. Jika kita ingin memupuk budaya bersukan ini, kesedaran dari peringkat akar umbi juga perlu bagi menghapuskan diskriminasi gender dalam sukan.
Sukan bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal, malah boleh dijadikan karier serta punca pendapatan negara. China misalnya memperoleh hasil hampir RM300 bilion setiap tahun daripada industri sukan sahaja.
Dasar dan polisi sukan di Asia Tenggara masih terperangkap dalam permainan gender, justeru diharapkan Malaysia mengambil langkah memecahkan tembok itu dan memberi penekanan sama-rata kepada atlet negara kita.
Leny Azmi adalah pembaca FMT dan alumni Sekolah Merdeka.
Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.