Turki jadi negara Islam maju kerana rakyatnya rajin dan berilmu, kata PM

Turki jadi negara Islam maju kerana rakyatnya rajin dan berilmu, kata PM

Dr Mahathir Mohamad menggesa anak muda ke Turki untuk menimba pengetahuan kerana pembanganan di negara itu lebih baik daripada Malaysia.

Dr Mahathir Mohamad hadir pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Pahlawan, Melaka, malam ini. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (kanan) dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari (kiri). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad menggesa golongan muda menimba pengetahuan dengan bekerja di Turki, sebelum kembali ke tanah air untuk membantu pembangunan Malaysia.

Perdana menteri turut menyeru anak muda mencontohi rakyat Turki yang rajin, berilmu, berkebolehan tinggi dan cekap sehingga mampu membangunkan ia menjadi negara Islam maju.

“Kalau tengok pembangunan di Turki adalah lebih baik daripada Malaysia, dan pembangunan itu adalah hasil orang Turki.

“Generasi muda elok pergi Turki, belajar sedikit bahasa Turki dan kerja di sana 10 tahun dan bila balik, saya rasa Malaysia boleh berubah,” katanya dipetik Bernama pada sesi Townhall Semarak Merdeka di Melaka, malam ini.

Mahathir mengadakan lawatan rasmi ke Turki akhir bulan lalu.

Beliau turut menggesa golongan muda berbangga dengan nilai dan cara hidup ketimuran, bukannya terikut budaya barat yang boleh menyebabkan penjajahan minda.

Katanya, nilai hidup barat sekarang keterlaluan berbanding dahulu, contohnya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang merupakan manifestasi kebebasan cara barat.

“Mereka cipta nilai hidup baru yang kadang-kadang tidak sopan sama sekali. Ada juga orang kita yang terperangkap dalam pendapat (nilai) ini dan kalau kita turut dengan nilai-nilai hidup cara barat ini, kita akan sekali lagi ditakluk oleh pihak barat.

“Lelaki sama lelaki kahwin, perempuan sama perempuan kahwin, macam mana nak dapat anak? Kalau mereka buat itu, saya ingat dalam jangka masa tak sampai 100 tahun, bangsa mereka akan lenyap kerana tak dapat anak sama sekali.”

Generasi muda main peranan penting

Ketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan malam ini, Mahathir berkata, kerajaan mengiktiraf peranan penting generasi muda sebagai pelapis negara dengan menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“Itu antara langkah yang sedang diusahakan kerajaan untuk membuka peluang kepada golongan muda terlibat dalam sistem demokrasi negara di usia lebih muda.”

Beliau turut menggesa rakyat memberi sokongan dan kepercayaan kepada kerajaan dalam usaha untuk mencapai matlamat kemakmuran bersama.

Beliau menggariskan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan, termasuk langkah memulihkan integriti dan urus tadbir perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan untuk kepentingan ekonomi negara.

“Rakyat hendaklah sama-sama bangkit dengan penuh azam dan tekad untuk membantu kerajaan mencorakkan kemakmuran bersama ini.

“Soal persefahaman dan penyatuan kaum akan terus dijadikan agenda penting kerajaan. Amalan nilai murni dalam kehidupan dan menjauhi amalan buruk juga perlu terus diterapkan dalam masyarakat.”

Katanya, kadangkala timbul isu perkauman yang mampu menggugat ketenteraman negara, tetapi rakyat Malaysia semakin matang dan tahu menolak fahaman sempit serta tetap berpegang kepada prinsip bertolak ansur dan hormat-menghormati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.