Kurangkan beban murid, mansuh UPSR, kata kesatuan guru

Kurangkan beban murid, mansuh UPSR, kata kesatuan guru

NUTP bersedia membantu Kementerian Pendidikan membuat penambahbaikan ke atas mekanisme pentaksiran kecemerlangan murid.

NUTP berkata pemansuhan UPSR boleh mengubah persepsi masyarakat bahawa hanya markah ‘A’ merupakan penanda aras kualiti murid. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini meminta Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan dengan berkata, pelajar tidak perlu dibebankan untuk lulus peperiksaan itu.

“Pemansuhan peperiksaan UPSR dapat mengurangkan tekanan dan bebanan ke atas murid di negara ini, selain mengubah persepsi sesetengah anggota masyarakat yang menganggap ‘A’ itu semata-mata sebagai kayu pengukur kualiti seseorang murid,” kata setiausaha agungnya, Harry Tan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemansuhan peperiksaan tersebut, yang diambil oleh murid Tahun 6, tidak bermakna murid tidak dinilai sama sekali, terutamanya berkait penempatan murid di sekolah berasrama penuh.

“Murid tetap akan dinilai berasaskan pentaksiran oleh masing-masing, bukannya berorientasikan peperiksaan berpusat semata-mata,” katanya.

Menurut Tan, NUTP bersedia membantu Kementerian Pendidikan membuat penambahbaikan ke atas mekanisme pentaksiran kecemerlangan murid.

Katanya, kesatuan menyokong langkah pemansuhan peperiksaan itu sewaktu ia diumumkan oleh bekas menteri pendididkan Mahdzir Khalid pada 2016.

Mahdzir juga berkata, keputusan sama ada peperiksaan itu akan dimansuhkan atau tidak akan dibuat pada tahun berikutnya.

Malangnya kata Tan, kementerian terus membisu berhubung isu tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.