2.6 tan dadah bernilai hampir RM9 juta dirampas dengan kerjasama Indonesia

2.6 tan dadah bernilai hampir RM9 juta dirampas dengan kerjasama Indonesia

Seramai 99 orang yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dan pengedaran dadah ditahan dalam tempoh 2017 hingga bulan lepas.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berkata bilangan dadah yang dibawa masuk melalui jalan laut menunjukkan trend peningkatan. (Gambar Bernama)
GENTING HIGHLANDS:
Sebanyak 2.6 tan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM89.6 juta dirampas dalam 29 operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dengan kerjasama Polis Indonesia dalam tempoh 2017 hingga bulan lepas.

Pengarah JSJN Bukit Aman Mohd Khalil Kader Mohd berkata seramai 99 orang yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dan pengedaran dadah ditahan dalam tempoh itu.

Walaupun jumlah dan nilai rampasan itu besar, beliau berkata pihaknya masih tidak berpuas hati dengan apa yang dicapai memandangkan bilangan dadah yang dibawa masuk melalui jalan laut juga menunjukkan trend peningkatan.

“Kami akan meningkatkan lagi kerjasama dengan Narkoba Bareskrim Polri Indonesia yang terjalin sejak 2007…mereka juga mempunyai ‘intelligence network’ (rangkaian risikan) di peringkat tertinggi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Kumpulan Kerja antara JSJN dan Direktorat IV TP Narkoba Polri Indonesia di Genting Highlands, hari ini yang turut dihadiri rakan sejawatnya dari Indonesia Brign Jen Pol Drs Eko Daniyanto.

Khalil berkata hasil risikan dan pemantauan pihaknya mendapati modus operandi penyeludupan dadah kedua-dua negara menggunakan jalan laut semakin meningkat.

Beliau berkata polis sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama maritim bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah di kawasan perairan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.