Pimpinan DAP sengkang mata kerana kemarahan sebalik isu khat

Pimpinan DAP dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng bermesyuarat malam tadi mengenai kontroversi seni tulisan atau khat. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Pimpinan kanan DAP yang berdepan kemarahan komuniti tertentu mengenai seni tulisan atau khat di sekolah-sekolah aliran bermesyuarat sehingga lewat malam di ibu pejabat parti itu malam tadi.

Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Naib Pengerusi Gobind Singh Deo, Setiausaha Organisasi Kebangsaan Anthony Loke, Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa Teo Nie Ching, pakar strategi Liew Chin Tong dan wakil-wakil rakyat seperti Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Abdul Aziz Bari antara yang hadir.

Lim berkata dalam satu catatan lewat malam tadi berkata terdapat kebimbangan identiti sekolah Cina dan Tamil akan terjejas.

Beliau menyalahkan sebuah akhbar Cina kerana memburukkan lagi ketakutan masyarakat.

“Saya sedang mendengar pandangan wakil-wakil rakyat, aktivis masyarakat dan saya juga sudah bertemu perdana menteri dan menteri pendidikan hari ini. Satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan nanti,” katanya.

Ditemui pemberita malam tadi, Lim memaklumkan wakil-wakil rakyat DAP hadir malam tadi bagi membincangkan isu berbangkit secara terbuka dan berterus-terang.

“Apa yang penting DAP mengambil pendirian secara bersama, secara sepakat,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan hasil perbincangan yang berlangsung selama 5 jam itu.

“Semua kerisauan sudah diutarakan dalam mesyuarat tadi,” katanya.

Beliau menegaskan DAP masih bersatu padu walaupun isu seni tulisan atau khat berdepan tentangan dan bantahan dalam parti itu sendiri.

“Ia bukan seperti yang diuar-uarkan pihak tertentu,” katanya.

Keputusan kerajaan memperkenalkan pengenalan kepada khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah-sekolah aliran mengundang bantahan daripada golongan pendidik berkaitan, selain mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli DAP.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta ia tidak dijadikan kontroversi kerana pengenalan khat bertujuan menerapkan nilai warisan dan identiti.

Setiausaha Agung Harry Tan berkata murid diperkenalkan kepada khat Jawi, Cina dan Tamil sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah dilaksanakan bagi murid Tahun 1 pada 2011, dan dalam buku teks bahasa Melayu Tahun 5 untuk sekolah jenis kebangsaan pada 2015.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pengenalan khat di sekolah-sekolah aliran akan diteruskan kerana hanya minoriti kecil yang membantah.