Apa jadi ke atas premium Dana Amanah MySalam yang tidak diguna, soal Jeyakumar

Apa jadi ke atas premium Dana Amanah MySalam yang tidak diguna, soal Jeyakumar

Di bawah MySalam yang dilancarkan pada Januari, Great Eastern akan menyumbang RM2 bilion kepada skim berkenaan, sementara Putrajaya membayar premium berjumlah RM400 juta setahun.

Bekas ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar.
PETALING JAYA:
Dr Michael Jeyakumar dari PSM terus mengkritik skim insurans MySalam untuk golongan B40, kali ini dengan mempersoalkan jaminan kerajaan bahawa premium yang tidak digunakan akan disalurkan semula ke dalam Dana Amanah MySalam.

Bekas ahli Parlimen Sungai Siput itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Isnin lepas tidak membantu mengetepikan tanggapan bahawa skim tersebut tidak akan mencapai sasarannya untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Kementerian berkenaan menekankan sifat skim tersebut yang tidak bermatlamatkan keuntungan, dengan berkata, pentadbirnya, Great Eastern Takaful Bhd, tidak mendapat insentif dengan tidak membayar tuntutan yang sah.

Di bawah MySalam yang dilancarkan pada Januari, Great Eastern akan menyumbang sebanyak RM2 bilion kepada skim berkenaan, sementara Putrajaya membayar premium berjumlah RM400 juta setahun.

Jeyakumar bagaimanapun menganggarkan minggu lepas bahawa Great Eastern hanya akan membayar tuntutan hanya sebanyak RM3 juta. Beliau membuat anggaran itu berdasarkan angka daripada operasi MySalam selama 6 bulan yang menunjukkan hanya RM1 juta telah dibayar setakat 22 Julai.

Beliau berkata, masalah asasnya ialah syarat tuntutan MySalam yang menyukarkan ramai orang untuk membuatnya.

“Ia juga menimbulkan persoalan tentang apakah yang akan berlaku ke atas wang dalam dana amanah itu. Jika kadar tuntutannya terus begini, maka wang itu akan kekal tidak digunakan,” katanya kepada FMT.

“Justeru jika syarat kelulusannya tidak direndahkan atau perlindungannya ditingkatkan, maka sukar untuk melihat bagaimana skim ini akan benar-benar memberi manfaat kepada orang ramai.”

Jeyakumar menggesa kerajaan supaya menyemak semula skim berkenaan dan menimbangkan bagaimana wang RM2 bilion daripada Great Eastern itu boleh digunakan dengan lebih cekap.

“Kementerian Kewangan perlu melibatkan pemegang taruh, termasuk Kementerian Kesihatan, pengamal perubatan, pakar kesihatan dan NGO,” katanya.

Beliau juga bertanya sekiranya Great Eastern mengenakan apa-apa bayaran ke atas kerajaan untuk mentadbir skim itu, selain meminta Kementerian Kewangan menjelaskan jika apa-apa faedah dijana daripada wang dalam Dana Amanah MySalam.

Skim MySalam menawarkan kepada calon yang layak perlindungan kesihatan untuk 36 penyakit kritikal, termasuk kanser, serangan jantung dan sindrom Alzheimer.

Penerima akan mendapat bantuan sebanyak RM8,000 dan bayaran harian RM50 dengan nilai maksimum RM700 setahun sebagai pendapatan gantian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.