
Menterinya, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nurini Kassim bahawa kementerian menghadapi kekangan kewangan sehingga tidak dapat membuat bayaran KWSP adalah tidak berasas kerana kementerian itu sentiasa mengutamakan pembayaran gaji termasuk sumbangan KWSP.
“Emolumen dan gaji sentiasa akan diberikan peruntukan yang mencukupi agar bayaran emolumen boleh dibayar terdahulu berbanding dengan bayaran lain.
“Ini menimbulkan persoalan sama ada wang yang harus diperuntukkan untuk bayaran emolumen, gaji dan sumbangan KWSP sudah ‘dialihkan’ Bernama untuk tujuan pembayaran lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Pengurus Akaun dan Kewangan Bernama Syarifah Zaini Syed Zain dipetik berkata, syarikat itu menghadapi masalah aliran tunai dan terpaksa menggunakan caruman KWSP untuk membayar gaji kakitangan mereka pada Julai.
Syarifah Zaini berkata, syarikat disokong kerajaan itu masih tidak menerima geran dari Kementerian Kewangan dan tidak dapat berjanji jika bayaran gaji pada Ogos ini atau semua caruman wajib akan dibayar tepat pada masa.
Lim berkata, kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) bukanlah kerajaan bankrap seperti kerajaan negeri tertentu yang tidak mampu membayar gaji anggota pentadbiran mereka dan sudah mengarahkan siasatan dimulakan berhubung isu tersebut.
“Saya sudah arahkan Kementerian Kewangan memulakan sebuah siasatan untuk menentukan siapa yang harus bertanggungjawab ke atas kedudukan serius ini dan menyekat bayaran sumbangan KWSP supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
“Sekiranya gaji bulan Julai tidak mampu dibayar kerana tidak menerima geran daripada Kementerian Kewangan, mengapa pula Kementerian Kewangan hanya menerima surat permohonan bertarikh 19 Julai lalu yang diterima pada 22 Julai lalu?” soalnya.
Jelasnya, laporan itu memburukkan imej kementerian yang sering dipersalahkan apabila kementerian atau agensi melakukan perbelanjaan melebihi bajet dan mencari alasan lain selain daripada kegagalan mereka menguruskan kewangan dengan baik.