Jerebu catat ‘berbahaya’ di Miri, ‘tidak sihat’ di Johan Setia

Jerebu catat ‘berbahaya’ di Miri, ‘tidak sihat’ di Johan Setia

Miri mencatat bacaan IPU sebanyak 358, turun dari 375 pada jam 9 malam dan 391 pada jam 1 petang semalam.

Jerebu menjejaskan beberapa kawasan di Malaysia.
PETALING JAYA:
Kualiti udara di Miri, Sarawak, meningkat pagi ini, walaupun masih mencatat bacaan “berbahaya” disebabkan jerebu terus memberi kesan beberapa kawasan di negara ini.

Pada jam 9 pagi, Miri mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sebanyak 358, turun dari 375 pada jam 9 malam dan 391 pada jam 1 petang semalam.

Bacaan IPU di bawah 50 bermakna kualiti udara yang baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat, dan melebihi 300 berbahaya.

Miri adalah satu-satunya bandar di Malaysia dengan bacaan “berbahaya” pagi ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini berkata kebakaran gambut yang dilaporkan berlaku di Kuala Baram di Miri, menyebabkan kenaikan bacaan IPU bagi kawasan itu.

Tiada bandar yang direkodkan “bacaan sangat tidak sihat”, tetapi Johan Setia di Selangor mempunyai bacaan “tidak sihat” iaitu 136, dari 112 pada 9 malam semalam.

Kualiti udara masih “sederhana” di kebanyakan bahagian Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Di Kedah dan Perlis, kualiti udara adalah “baik” pagi ini, dengan 4 kawasan – Langkawi, Sungai Petani, Alor Setar dan Kangar – merekodkan bacaan di bawah 50.

Pulau Pinang masih menunjukkan bacaan sederhana manakala kualiti udara di Seberang Jaya dan Seberang Prai dicatatkan baik.

Selangor, kecuali Johan Setia, menunjukkan bacaan purata antara 76 dan 96.

Menurut laman web JAS, udara yang “berbahaya” memberi kesan kepada kesihatan awam dan udara yang “sangat tidak sihat” boleh menjejaskan mereka yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru. Udara yang “sederhana” dan “baik” tidak menimbulkan sebarang kesan buruk terhadap kesihatan seseorang.

Jerebu itu dipercayai berasal dari Kalimantan dan Sumatera di Indonesia.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan diaktifkan untuk menyelaraskan tindakan oleh agensi kerajaan yang berkaitan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.