
Awal minggu ini, kerajaan Korea Selatan memutuskan untuk merombak kategori rakan kongsi perdagangannya kepada 3 kumpulan berbanding 2 ketika ini, dengan meletakkan Tokyo di tengah-tengah kumpulan itu.
Kementerian itu berkata, langkah berkenaan akan berkuat kuasa selepas mengumpul pendapat umum selama 20 hari dan melakukan semakan perundangan.
Jepun melaksanakan kekangan eksport terhadap Korea Selatan bulan lalu, bermula dengan menyekat penghantaran 3 bahan penting bagi industri teknologi yang menjadi tulang belakang Seoul dan mendakwa ekonomi keempat Asia itu mengendalikan kawalan eksport agak longgar ke atas barangan sensitif.
Minggu lalu, Tokyo secara rasmi mengumumkan Korea Selatan akan digugurkan daripada senarai rakan kongsi dagang yang dipercayainya bermula akhir bulan ini.
Korea Selatan yang menolak dakwaan itu menyifatkan langkah Jepun sebagai tindakan balas terhadap satu keputusan mahkamah yang mengarahkan beberapa firma Jepun membayar pampasan kepada rakyat Korea yang menjadi buruh paksa semasa penjajahan dan pemerintahan kejam Tokyo dari 1910 hingga 1945 di Semenanjung Korea.