Operasi di KLIA pulih selepas 4 hari gangguan sistem

Operasi di kaunter daftar masuk KLIA beransur pulih selepas gangguan sistem rangkaian sejak 21 Ogos lalu. (Gambar Bernama)

SEPANG: Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali normal pagi ini selepas berdepan gangguan sistem rangkaian sejak Rabu lalu.

Tinjauan Bernama mendapati proses mendaftar masuk berjalan lancar setakat 9.30 pagi tadi dan Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) pulih dengan memaparkan maklumat terkini.

Keadaan itu berikutan penggantian peralatan rangkaian pada Jumaat lalu seperti diumumkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Bagaimanapun, jurucakap MAHB berkata, sistem itu dilihat ada kemajuan positif selepas penggantian berkenaan, tetapi kestabilannya sedang dipantau kerana beberapa isu berkala.

Difahamkan, MAHB akan mengeluarkan kenyataan media petang ini mengenai status terkini keadaan di KLIA.

Gangguan teknikal terhadap Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) sebelum ini menyebabkan penerbangan tertangguh dan penumpang terpaksa beratur panjang.

Ia juga menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, FIDS, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Jumlah duta airport Care juga berkurangan hari ini berbanding ketika gangguan itu berlaku bagi memastikan keselesaan dan mengedarkan makanan kepada penumpang yang beratur panjang.