Jepun kuat kuasa keputusan singkir Korea Selatan sebagai rakan dagang

Jepun kuat kuasa keputusan singkir Korea Selatan sebagai rakan dagang

Jepun meneruskan langkah penyingkiran itu dengan kelulusan Kabinetnya pada 2 Ogos lalu.

Korea Selatan antara 27 negara dalam senarai putih Jepun yang tidak perlu melalui pemeriksaan ketat ke atas lebih 1,100 barangan strategik import yang berpotensi dialihkan sebagai penggunaan ketenteraan. (Gambar Reuters)
SEOUL:
Jepun menguatkuasakan keputusan menyingkir Korea Selatan daripada senarai rakan dagang pilihannya menyebabkan pertikaian kedua-dua negara berhubung isu perdagangan dan sejarah semasa perang bertambah teruk.

Jepun meneruskan langkah penyingkiran itu dengan kelulusan Kabinetnya pada 2 Ogos lalu, walaupun Seoul berulang kali mendesak kekangan eksport sedemikian dihentikan – tindak balas politik terhadap keputusan Mahkamah Agung Korea Selatan tahun lalu ke atas beberapa syarikat Jepun berhubung isu buruh paksa pada era penjajahan.

Seoul dijangka membuat laporan rasmi berkaitan penyingkiran itu yang didakwa melemahkan prinsip perdagangan bebas, mengganggu rangkaian bekalan antarabangsa dan menjejaskan ekonomi global secara negatif.

Korea Selatan antara 27 negara dalam senarai putih Jepun yang tidak perlu melalui pemeriksaan ketat ke atas lebih 1,100 barangan strategik import yang berpotensi dialihkan sebagai penggunaan ketenteraan.

Langkah penyingkiran daripada senarai itu adalah tambahan kepada penguatkuasaaan sekatan Jepun pada bulan lalu ke atas eksport 3 bahan berteknologi tinggi Korea Selatan yang penting dalam penghasilan semikonduktor.

Tokyo menggambarkan sekatan perdagangan itu sebahagian daripada pengurusan rejim eksportnya yang sah dan menolak dakwaan Seoul ia adalah tindak balas bagi keputusan Mahkamah Agung yang mengarahkan beberapa syarikat Jepun membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa pada era penjajahan Jepun dari 1910 hingga 1945.

Mahkamah itu mengiktiraf hak individu mangsa untuk menuntut ganti rugi, namun Tokyo berhujah semua isu berbangkit daripada zaman penjajahan di Semenanjung Korea diselesaikan di bawah perjanjian negara dengan negara pada 1965 yang bertujuan menormalkan hubungan dua hala.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Lee Nak Yon dilaporkan berkata Seoul boleh mempertimbangkan keputusannya untuk memansuhkan pakatan perkongsian risikan ketenteraan dua hala jika Jepun menarik balik langkah tindak balas ekonomi itu.

Minggu lalu, Seoul mengumumkan keputusannya menamatkan pakatan dikenali sebagai “General Security of Military Information Agreement (GSOMIA)” yang dilihat simbol kerjasama keselamatan antara kedua-dua negara yang jarang berlaku.

Perselisihan berterusan antara Seoul dan Tokyo menyebabkan Washington, sekutu kedua-dua negara, berada dalam keadaan sukar kerana Amerika Syarikat berusaha memperkukuhkan rangkaian sekutu serantaunya untuk menangani ancaman China serta Korea Utara dengan lebih baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.