Mengambil ukuran Dr M, cerita si tukang jahit berjari emas

Robert Loh menjahit sut untuk Dr Mahathir Mohamad sejak 32 tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Hari itu Robert Loh bekerja seperti biasa di Jalan Alor, Bukit Bintang sehinggalah sebuah kereta peronda polis berhenti di pintu kedainya.

Tukang jahit yang belajar sendiri itu ada ramai pelanggan yang akan singgah ke kedainya dengan pemandu masing-masing, tetapi tak pernah pula ada yang “menaiki” kereta peronda.

Muncul seorang lelaki yang melangkah masuk ke kedainya, dan memperkenalkan dirinya sebagai pembantu perdana menteri.

“Dia kata perdana menteri mahu beberapa sut dijahit dan dia mahu saya yang menjahitnya,” kata Loh, pengasas Lord’s Tailor kepada FMT.

Loh segera mengambil pita pengukurnya dan bergegas pergi ke pejabat perdana menteri menaiki kereta peronda itu.

“Saya gugup. Iyalah, orangnya Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri Malaysia.”

Ketika itu 1987, dan merupakan penggal pertama Mahathir menjadi perdana menteri. Beliau mendapat tahu tentang hasil kerja tangan Loh selepas memerhatikan sut buatan Loh yang dipakai menantunya.

“Tun nampaknya kagum dengan sut menantunya itu,” kata Loh, tanpa nada megah.

Loh juga berasa kagum semasa mengambil ukuran negarawan itu sambil bersembang dengannya.

“Saya terkejut kerana jelas dia banyak tahu tentang fesyen dan jahitan.”

Kagum dengan pelanggannya yang kuat bekerja, Robert Loh tetap bekerja 7 hari seminggu dan tidak bersara daripada bidang menjahit, walaupun usianya sudah mencecah 74 tahun.

Sejak itu, Loh menjadi tukang jahit ke-4 dan terakhir buat perdana menteri itu, dan 32 tahun kemudian dia masih mengambil ukuran Mahathir yang kembali menjadi perdana menteri.

Loh, kini 74, berkata, cita rasa fesyen Mahathir, yang 20 tahun lebih tua daripadanya, masih mengagumkan.

“Tun tahu fesyen terkini dan sangat tegas. Dia tahu apa gaya dan bahan yang dia mahu. Ini memudahkan kerja saya kerana saya hanya perlu mengambil ukurannya.”

Ketika Loh pertama kali menjahit suit untuk Mahathir pada 1980-an, perdana menteri itu gemar sut bidang dan sut safari berpad.

“Sekarang sut sejadi kembali menjadi ikutan jadi dia ikut trend itu. Sama juga dengan seluarnya. Dia tempah gaya langsing yang terkini.”

Mahathir menempah sut mengikut keperluan, terutama apabila beliau perlu keluar negara.

Loh berkata, ada masanya dia mengesyorkan rekaan tertentu kepada Mahathir kerana beliau akan nampak segak memakainya, terutama sut kolar Nehru, yang mengambil ilham daripada pakaian perdana menteri pertama India, Jawaharlal Nehru.

“Ia untuk sambutan hari lahir Tun, jadi saya jahit jaket Nehru untuk beliau. Mula-mula dia teragak-agak nak memakainya, tetapi selepas mencuba, dia menyukainya kerana selesa dan tak perlu pakai tali leher.”

Selepas itu, kata Loh, ramai orang mahu menggayakan jeket Nehru dan gaya itu menjadi pilihan popular pengantin lelaki.

Dari segi itu, Loh berkata, Mahathir bukan sahaja seorang pengikut fesyen, tetapi juga pencetus trend.

Tukang jahit ini kebiasaannya akan mengambil masa setengah jam mengambil ukuran Mahathir sebelum pulang, tetapi pada ketika yang jarang-jarang berlaku, sekiranya negarawan itu ada sedikit masa untuk berehat, beliau akan mengundang Loh minum teh bersamanya.

Selama bertahun-tahun ini, Loh berkata, dia berkawan dengan Mahathir, tetapi mereka tak pernah bersembang tentang politik, kerana minat mereka adalah kepada fesyen.

Beliau selalu berpesan kepada Mahathir supaya bersenang-senang, tetapi perdana menteri selalu berkata beliau tiada kesempatan untuk itu kerana terlalu banyak kerja.

Loh kagum dengan kerja keras Mahathir. Justeru beliau juga terus bekerja 7 hari seminggu ddan enggan bersara daripada bidang jahitan.

Hakikat bahawa Mahathir sentiasa berfikir tentang negara dan selalu mengasak diri sendiri turut mendorong orang di sekeliling beliau, termasuk Loh

“Tun pernah tanya kenapa syarikat pakaian orang kita tak pernah masuk ke sektor siap jahit untuk orang ramai. Beliau kata itu akan menjadi perniagaan yang baik. Saya beritahu kita sebenarnya boleh, tetapi jenama kita tak semegah jenama terkenal syarikat Eropah dan Amerika Syarikat.”

Loh mengambil kata-kata Mahathir sebagai cabaran lalu membuka jenama siap jahit Lord’s, suatu pencapaian besar buat seseorang yang belajar menjahit dengan memerhatikan tukang jahit menjahit pakaian di Malayan Mansion dan Selangor Mansion.

Loh dilatih menjadi tukang jahit profesional pada 1975 di Tailor and Cutter Acadamy yang terkenal di London.

Bagi tukang jahit unggul ini, Mahathir bukan sahaja seorang pelanggan, tetapi juga seseorang yang perlu dicontohi.

“Walaupun dia perdana menteri, Tun bayar semua pakaiannya. Dia berkeras mahu bayar dengan cek peribadi.

“Tun selalu pesan kepada saya, jangan beri sut percuma kerana dia perdana menteri dan tak baguslah kalau dia terima hadiah.”