Dr M ada kuasa lantik, gugur anggota Kabinet, kata peguam

Peguam, R Kengadharan.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempunyai kuasa untuk mengugurkan atau memindahkan menteri ke portfolio lain dan mereka yang digugurkan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang, kata peguam.

R Kengadharan berkata tidak seperti hakim dan ahli Parlimen, tiada sekatan berhubung jumlah anggota Kabinet.

“Perdana Menteri Malaysia mempunyai budi bicara berhubung pelantikan dan penyingkiran menterinya,” kata Kengadharan kepada FMT.

Peguam itu memberi contoh keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2010 hanya perdana menteri yang mempunyai kuasa untuk melantik dan membatalkan pelantikan menteri Kabinet.

Panel 3 hakim menyampaikan keputusan itu ketika Anwar Ibrahim meminta perisytiharan selepas pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan oleh Mahathir pada 1998.

Mahathir yang juga presiden Umno dan perdana menteri Umno ketika itu tidak bersefahaman disebabkan perebutan kuasa yang menyebabkan Anwar didakwa dengan penyalahgunaan kuasa dan salah laku seksual.

Kengadharan berkata demikian mengulas kenyataan Mahathir semalam bahawa “tidak ada ruang” untuk Presiden PKR Anwar dalam Kabinetnya pada masa ini.

“Kerajaan tidak akan buat perubahan atau penambahan jumlah ahli Kabinet,” kata pengerusi PPBM kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti di Yayasan Kepemimpinan Perdana.

Mahathir berkata tidak ada sesiapa yang ingin meletak jawatan menyebabkan ia tiada kekosongan.

Pada Mei, Mahathir berkata walaupun beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar seperti yang dijanjikan, tidak ada kerangka waktu yang diberikan bagi pemindahan kuasa tersebut.

Mahathir ditanya sama ada waktunya sudah matang bagi Anwar menyertai Kabinetnya, di tengah-tengah perbincangan mengenai rombakan portfolio dan gesaan mempercepatkan rancangan untuk Anwar menggantikannya.

Selepas pilihan raya umum ke-14, pakatan Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah mengambil alih Putrajaya menggantikan Barisan Nasional.

Gabungan itu bersetuju Mahathir dilantik sebagai perdana menteri.

PKR dengan 50 kerusi Parlimen adalah parti dominan dalam gabungan itu diikuti DAP.

Kengadharan berkata Mahathir mempunyai kuasa untuk mengembangkan Kabinetnya dan tidak ada sekatan terhadap jumlahnya.

“Ini berbeza dengan had yang dikenakan ke atas hakim, ahli Parlimen dan senator,” katanya.

Beliau berkata adalah menyedihkan apabila Mahathir mendakwa Anwar tidak boleh dilantik hanya kerana tidak ada anggota Kabinet yang menawarkan diri untuk menyerahkan jawatan mereka.

“Berbanding dengan kebanyakan menteri sekarang ini, Anwar mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan kerana beliau berada dalam Kabinet Mahathir untuk tempoh yang lama hingga 1998,” katanya.