PAS pertahan kempen utamakan produk Islam

PAS pertahan kempen utamakan produk Islam

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan menjayakan kempen mengutamakan produk Islam kerana ia tindakan inklusif dan kompetitif dalam konteks perniagaan.

Takiyuddin Hassan berkata, kajian menunjukkan kempen sokong produk Islam mampu membawa kesan positif kepada limpahan ekonomi lebih luas.
PETALING JAYA:
PAS mempertahankan kempen mengutamakan produk dihasilkan umat Islam dan menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai kempen memboikot barangan bukan Bumiputera sebagai kurang tepat.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan menjayakan kempen itu yang disifatkannya tindakan inklusif serta kompetitif dalam konteks perniagaan, dan perlu dilihat secara positif.

“Kajian menunjukkan kempen sokong produk Muslim akan membawa kesan positif kepada limpahan ekonomi yang lebih luas.

“Ia pastinya akan banyak membantu usahawan kecil dan sederhana, luar bandar serta menjadikannya lebih berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Lim dilaporkan menggesa PAS dan Umno membantu menghentikan gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera kerana ia tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.

Setiausaha agung DAP itu berkata, jika Umno dan PAS tidak memusuhi golongan bukan Islam dan bukan Melayu, kedua-dua parti itu patut membantah boikot tersebut.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan meminta kempen itu dihentikan kerana ia tidak berkesan dan hanya akan mencetuskan kemarahan orang lain.

Hari ini, Takiyuddin berkata, kempen membeli produk Islam akan memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, terutamanya belia yang tiada pekerjaan.

“Ia juga membawa kepada kitaran ekonomi ummah (termasuk bukan Islam) yang lebih progresif umpamanya dalam hal zakat, sedekah, waqaf dan seumpamanya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.