Lagi 14 maut akibat ribut tropika Podul landa Thailand

Lagi 14 maut akibat ribut tropika Podul landa Thailand

Ribut tropika Podul melanda 26 wilayah negara itu sejak 29 Ogos hingga 2 Sept, menyebabkan 60,914 keluarga terjejas.

Selepas ribut tropika Podul, ribut tropika Kajiki sedang bergerak menuju Thailand dan dijangka akan menyebabkan hujan lebat dan ribut petir.
BANGKOK:
Ribut tropika Podul melanda 26 wilayah di Thailand, mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang maut.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand, Chayapol Thitisak berkata ribut tropika Podul melanda negara itu sejak 29 Ogos hingga 2 Sept, menyebabkan 60,914 keluarga terjejas.

“Dua orang masih hilang di Amnat Charoen manakala seorang tercedera di Chaiyaphum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilaporkan 4 kematian direkodkan di Amnat Charoen, 3 di Khon Kaen, Roi-Et dan Phichit (2 masing-masing), Ubon Ratchathani, Phitsanulok dan Mukdahan (1 masing-masing).

Chayapol berkata banjir pula menyebabkan kerosakan kepada 3,818 rumah, 264 sekolah dan institusi, 57 hospital dan klinik.

Beliau berkata kira-kira 105,952 hektar ladang pertanian, termasuk tanaman padi, hortikultur dan ladang tanaman lain rosak manakala 675,586 ternakan juga terjejas.

Ribut tropika Podul melanda 13 wilayah di timur laut – Amnat Charoen, Nakhon Phanom, Roi-Et, Maha Sarakham, Ubon Ratchathani, Khon Kaen, Nong Bua Lamphu, Yasothorn, Kalasin, Chaiyaphum, Mukdahan, Surin dan Udon Thani.

Ia juga melanda 8 wilayah di utara – Phrea, Chiang Mai, Phetchabun, Nan, Uttradit, Pitsanulok, Pijit dan Mae Hong Son, 3 wilayah di selatan – Krabi, Ranong dan Chumporn, 2 di timur – Trat dan Prachinburi.

“Sehingga kini, 7 wilayah masih terjejas oleh banjir termasuk Khon Kaen, Pitsanulok, Pijit, Amant Charoen, Ubon Ratchathani, Roi-Et dan Yasothorn. Seramai 1,118 penduduk dipindahkan berikutan banjir,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand berkata 1 lagi ribut tropika Kajiki sedang bergerak menuju Thailand dan dijangka akan menyebabkan hujan lebat dan ribut petir terutama di timur laut Thailand. Pihak berkuasa bimbang Kajiki akan memburukkan lagi keadaan anjir, terutama di timur laut.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.