NGO gesa Agong campur tangan selesai isu video seks sejenis

Sekretariat Suara Rakyat dan Pertubuhan Bangkit berhimpun di luar Istana Negara hari ini untuk menyerahkan memorandum dan laporan forensik ke atas video seks sejenis kepada Agong.

KUALA LUMPUR: Dua badan bukan kerajaan menyerahkan laporan forensik dilakukan sebuah syarikat di United Kingdom ke atas video seks sejenis yang menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini kerana mendakwa kekurangan tindakan daripada pihak berkuasa.

Sekretariat Suara Rakyat (SSR) dan Pertubuhan Bangkit mendakwa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad gagal mengambil tindakan walaupun menerima laporan sama 5 hari lalu.

Timbalan Pengerusi SSR, Mohamad Ali Mohamad yang baru pulang dari Jakarta, berkata beliau malu kerana Malaysia menjadi bahan ketawa negara lain apabila tiada tindakan diambil terhadap pelaku hampir 3 bulan selepas klip video itu terbongkar.

“Ramai rakan saya hairan dan ketawa, mana mungkin apabila melakukan jenayah secara berdua, seorang telah mengaku, tapi seorang lagi tidak mengaku.

“Kata mereka, ini kerja mudah, paling senang apabila salah seorang dah mengaku, jadi ia memudahkan tugas polis untuk membuat siasatan.

“Namun sampai sekarang, kita belum dapat hasil,” katanya selepas menyerahkan memorandum dan laporan forensik video seks itu di Istana Negara hari ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Bangkit, Shahrin Azlan mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas melakukan pendakwaan terhadap Azmin kerana polis sudah menghantar kertas siasatannya kepada Jabatan Peguam Negara.

“Sekali lagi saya mohon perdana menteri mengeluarkan Azmin dari barisan Kabinet.”

Ali mengugut akan menyebarkan hampir 100,000 salinan laporan forensik itu kepada pengundi di Parlimen Gombak, jika tiada tindakan diambil terhadap Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak dalam masa 2 minggu.

“Kita mahukan pemimpin negara ini benar-benar bersih. Kita mahukan pemimpin yang benar-benar baik akhlaknya dan dapat meneruskan tanggungjawabnya.”

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengakui terbabit dalam video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dinafikan timbalan presiden PKR itu yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Susulan itu, polis menahan Haziq sebanyak 2 kali pada Jun dan Julai lalu bagi membantu siasatan kes video seks sejenis itu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada 18 Julai lalu berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.

Tetapi, laporan ringkasan Verden Forensics menyatakan klip video seks sejenis itu tulen dan 2 individu terbabit sama dengan gambar mereka.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, laporan analisis video seks sejenis yang dilakukan Verden Forensics sudah dihantar kepada CyberSecurity Malaysia untuk diteliti.