
Tinjauan FMT mendapati beberapa laman Facebook yang menawarkan perkhidmatan mengambil anak angkat di setiap negeri menemui kejayaan apabila sebilangan besar pasangan berkahwin berjaya mendapatkan bayi angkat kurang daripada tempoh 2 bulan.
Rozita Muslim, 36, berkata dia dan suami yang terdesak untuk memiliki cahaya mata memutuskan untuk menghubungi ejen perkhidmatan anak angkat untuk mendapatkan data berhubung calon bayi yang sesuai.
Katanya, dia sanggup berhabis puluhan ribu ringgit demi mendapatkan seorang bayi angkat daripada memilih Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai agensi yang boleh memenuhi hasratnya itu.
“Separuh simpanan saya digunakan untuk memiliki Ashraf, tetapi saya puas hati dan lega.
“Urusan saya dan suami dipermudahkan dengan cara ini, cepat dan tiada peraturan ketat seperti yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya merujuk kepada pengalamannya mengambil Muhammad Alif Ashraf sebagai anak angkat, 2 tahun lalu .
Katanya, sebanyak RM9,000 dihabiskan untuk membayar kos bersalin ibu kandung Ashraf di hospital swasta. Manakala RM5,000 diberikan kepada ibu kandung dan ejen sebagai saguhati, 2 minggu selepas Ashraf dilahirkan.
“Malah, ibu kandung Ashraf perlu berpantang di rumah kami. Itu adalah salah satu syarat yang mesti diikuti berdasarkan perjanjian yang dibuat,” katanya sambil menambah, antara syarat lain adalah ibu bapa angkat tidak boleh bertanyakan soalan peribadi mengenai ibu bapa kandung bayi dan tidak boleh berhubung dengan ibu bapa kandung selepas tempoh pantang tamat.
Rozita adalah antara lebih 13,000 wanita berkahwin yang belum dikurniakan cahaya mata walaupun selepas berkahwin selama 5 tahun.
FMT juga berjaya mendapatkan pengendali laman Facebook yang menawarkan perkhidmatan tersebut.
Pengendali salah satu laman itu yang mahu dikenali sebagai Dania berkata, pihaknya hanya menggerakkan laman tersebut dengan mempromosikan profil kehamilan ibu kandung.
Jelas Dania, dia dan pengendali yang lain akan menerima data tersebut daripada 2 orang ketua yang menetap di Kuala Lumpur.
“Setakat ni, ada 9 orang admin (pengendali) yang jaga laman FB kami. Ketua akan berikan kami maklumat ibu kandung dan kandungan melalui WhatsApp.
“Kami hanya kongsikan dan aturkan temujanji dengan setiap ejen di seluruh negeri,” katanya, mengatakan perhubungan mereka hanya menggunakan telefon bimbit dan internet di rumah.
Katanya, sebagai pengendali akaun tersebut, dia dan pasukannya akan memastikan semua bakal ibu bapa angkat bersetuju dengan semua syarat dan tuntutan yang dikenakan dalam perjanjian sebelum pertemuan dibuat.
“Terutama sekali, kami akan tanya mengenai gaji bulanan. Jika tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, laluan akan dibuka kepada yang lebih berkemampuan,” katanya.
Menurut Dania, pihaknya hanya menawarkan perkhidmatan anak angkat dari usia dalam kandungan sehingga 2 tahun sahaja. Kebanyakan bayi tersebut adalah anak yang lahir tidak sah taraf atau “anak luar nikah”.
“Anak luar nikah paling banyak, selepas itu anak pelarian dan anak pasangan yang tidak mempunyai status warganegara,” katanya.
Dania menambah, kategori anak luar nikah yang paling banyak dibantu untuk mendapatkan keluarga angkat adalah dari Selangor, Kelantan dan Pahang.